Langit Kalimantan merah, penduduk sukar bernafas

WorldEnvironment
8 Oct 2026 • 6:17 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Langit Kalimantan merah, penduduk sukar bernafas

JAKARTA – Langit kemerahan dan jerebu tebal menyelubungi Kalimantan di Indonesia akibat kebakaran hutan dan tanah gambut, menyebabkan kualiti udara merosot pada tahap sangat tidak sihat dan berbahaya.

Menurut Kementerian Perhutanan, sebanyak 1,176 titik panas  dikesan di seluruh Indonesia  setakat semalam.

Memetik pemerhatian Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), kementerian itu berkata, kualiti udara mencapai tahap sangat tidak sihat hingga berbahaya di Kalimantan Tengah, sebahagian Kalimantan Barat dan Selatan, Sumatera Selatan dan Jambi.

Jarak penglihatan di bandar Palangka Raya, Kalimantan Tengah merosot kepada hanya 150 meter pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

Video  tersebar di media sosial menunjukkan langit berwarna jingga merah, asap tebal dan api merebak ke arah kawasan perumahan di beberapa bahagian di Kalimantan, mendorong panggilan untuk bantuan.

Penduduk Palangka Raya melaporkan mengalami kerengsaan mata dan sukar  bernafas.

Kementerian itu berkata, usaha memadam kebakaran diteruskan di darat dan dari udara.

“Sebanyak 61 pesawat dikerah untuk menyokong operasi memadam kebakaran, termasuk 44 untuk pengeboman air dan 17 untuk rondaan udara dan pembenihan awam,” kata kementerian itu  dalam kemas kini media sosial hari ini.

Setakat pukul  9 malam semalam, Kalimantan Tengah merekodkan 225 titik panas, meningkat berbanding 182 pada hari sebelumnya, manakala Sumatera Selatan mencatatkan peningkatan mendadak kepada 224 daripada 71 titik panas.

Jerebu juga mengganggu penerbangan, dengan jarak penglihatan di Lapangan Terbang Melalan, Kalimantan Timur merosot kepada 500 meter semalam dengan beberapa penerbangan  dibatalkan.

Di Lapangan Terbang Sultan Thaha di Jambi, jarak penglihatan menurun kepada 800 meter menjelang tengah hari semalam, mengakibatkan beberapa penerbangan menuju ke dan dari Jakarta ditangguhkan. – BERNAMA

The post Langit Kalimantan merah, penduduk sukar bernafas appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved