Langkah beregu lelaki, Tze Yong di Jepun terhenti

16 Nov 2023 • 6:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Aaron (kiri) dan Wooi Yik terpaksa akur tewas kepada pasangan tuan rumah dalam saingan pusingan kedua Masters Jepun pada Khamis. - Foto Agensi

image is not available
Perjuangan Tze Yong di Kumamoto berakhir setelah tewas kepada pemain Denmark pada pusingan kedua Masters Jepun. Foto Agensi

IMPIAN beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mara ke saingan suku akhir Masters Jepun tidak kesampaian.

Langkah mereka disekat pasangan tuan rumah, Akira Koga-Taichi Saito pada pusingan kedua di Kumamoto pada Khamis.

Set pertama menyaksikan mereka bersaing sengit dalam perebutan mata, namun Koga-Saito berjaya mengawal permainan untuk memenangi set pertama 21-18.

Memasuki set kedua, beberapa kesilapan Aaron-Wooi Yik memberi ruang kepada Koga-Saito untuk mendahului mata.

Biarpun Aaron-Wooi Yik cuba mengejar, namun juara dunia 2022 itu terpaksa akur kelebihan memihak pasangan lawan yang menghuni ranking ke-16 dunia untuk mengesahkan kemenangan 21-16.

Berdasarkan rekod pertemuan, Koga-Saito memiliki kelebihan dengan empat kemenangan daripada tujuh pertemuan sebelum ini.

Bagaimanapun perjuangan beregu lelaki diteruskan oleh Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang mara ke suku akhir setelah menewaskan pasangan Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa-Nga 14-21, 21-15, 21-15.

Menanti Yew Sin-Ee Yi ialah pasangan adik-beradik, Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen yang menewaskan rakan senegara, Lu Ching-Yao-Yang Po-Han 12-21, 21-11, 21-14.

Skrip berbeza menimpa pemain perseorangan, Ng Tze Yong apabila terpaksa akur tewas kepada pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen.

**media[2425713]**

Tze Yong bagaimanapun tidak memberi laluan mudah kepada pemain Denmark itu apabila menang set pertama 22-20.

Pengalaman nyata memihak pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu apabila mengungguli set kedua 21-11 sebelum mengesahkan kemenangan 21-18.

Kekalahan Tze Yong itu menyaksikan rekodnya terikat 1-1 dengan Axelsen apabila pertemuan sulung di Seluruh England tahun ini menyaksikan pemain kelahiran Johor itu mencatat kemenangan 21-15, 9-21, 23-21 pada pusingan kedua.