Langkah intervensi KPKT pastikan projek perumahan sakit di Kuala Langat disiapkan

14 Sep 2023 • 6:54 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BANTING: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Task Force Projek Perumahan Sakit dan Terbengkalai (TFST) melaksanakan beberapa langkah intervensi bagi memastikan tiga projek perumahan swasta berstatus sakit di sekitar daerah Kuala Langat di sini, dapat disiapkan.

Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) berkata ketika ini pihak pemaju sedang berusaha menjalankan kerja-kerja penyiapan projek tersebut bagi memenuhi keperluan mendapatkan kelulusan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance, CCC).

“TFST telah melaksanakan beberapa langkah intervensi bagi projek ini termasuklah membuat pemeriksaan lawatan tapak secara berkala, mengeluarkan arahan bagi mengemukakan laporan bulanan,” katanya dalam sidang media selepas meninjau perkembangan terkini tiga projek berkenaan di sini hari ini.

Projek perumahan tersebut adalah di Taman Bentara 15 yang dimajukan oleh Raya Baiduri Sdn Bhd, Taman Jugra Cemerlang oleh Melati Gemas Sdn Bhd dan projek Rumah Selangorku yang diusahakan oleh Sentoria Harta Sdn Bhd, sekitar daerah Kuala Langat.

Beliau berkata antara isu utama yang dikenal pasti menyebabkan sesuatu projek itu berstatus sakit adalah masalah aliran tunai pemaju dan mendapatkan kelulusan daripada agensi-agensi terlibat.

“Matlamat utama kini adalah mahu menyiapkan kesemua projek tersebut. Kita bukan mahu mencari salah atau hukum sesiapa, lambat tetap lambat dan pemaju mesti mengambil tanggungjawab. Kita akan cuba membantu segala ruang yang ada bagi mencari jalan siapkan projek,” katanya.

Menurutnya lagi, pasukan TFST akan meneruskan gerak kerja tinjauan ke tapak projek kerana ini adalah satu daripada langkah penyelesaian yang diusahakan pihaknya melalui intervensi kerajaan bagi memudah cara penyiapan semua projek perumahan.

“Sehingga 31 Julai lalu, kesemua projek tersebut berstatus sakit dengan kelewatan melebihi 60 peratus daripada kemajuan sebenar,” ujarnya. -Bernama