
Pewartaan Kalimbambang Emas, usaha Sabah pulihara spesies kupu-kupu endemik
Langkah Pemuliharaan, Kalibambang Emas Diangkat Sebagai Kupu-Kupu Rasmi Negeri Sabah. Sabah kini mempunyai rama-rama rasmi. Kerajaan negeri telah mengisytiharkan rama-rama Kinabalu Birdwing atau lebih mesra dikenali sebagai “Kalibambang Emas” sebagai kupu-kupu negeri Sabah.
Menurut laporan media tempatan, langkah ini diambil untuk memperkukuh usaha pemuliharaan spesies ini dan fauna lain yang semakin terancam.

Kenapa Pilih “Kalibambang Emas”?
Nama ini diilhamkan daripada suku kaum Sungai, yang membawa maksud rama-rama besar berwarna kuning keemasan, terang dan indah – persis gambaran sebenar spesies ini.
Kinabalu Birdwing atau nama saintifiknya Troides Andromache hanya boleh ditemui di Sabah dan Sarawak, pada ketinggian antara 305 hingga 610 meter di atas paras laut. Keunikan ini menjadikan ia lambang kecantikan semula jadi negeri di bawah bayu.
Fakta Menarik Tentang “Kalibambang Emas”
- Saiz & Warna Unik
- Sayap rama-rama ini berukuran antara 60mm hingga 70mm.
- Saiz sayap betina adalah dua kali ganda lebih besar berbanding jantan.
- Habitat Eksklusif
- Hanya boleh ditemui di kawasan Gunung Kinabalu, Banjaran Crocker, dan Sipitang berhampiran Merapok.
- Ia sangat jarang dan sukar ditangkap!
- Status Terancam
- Tersenarai sebagai spesies “Vulnerable” di IUCN Red List.
- Dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.
Usaha Pemuliharaan
Pada 1 September 2023, spesies ini dimasukkan ke dalam Sabah Biodiversity Enactment (Pindaan) 2023 sebagai Sumber Biologi Terlindung. Sabah Biodiversity Centre bersama agensi berkaitan sedang merangka pelbagai program pemuliharaan bagi memastikan kelangsungan spesies ini.
Langkah ini turut melibatkan kerjasama pakar-pakar seperti mendiang Dr. Stephen Sutton, seorang entomologi terkenal yang mengendalikan Kinabalu Birdwing Project di bawah Rotary Club Kota Kinabalu.
Simbol Kebanggaan Sabah
Keindahan dan keunikan Kinabalu Birdwing adalah lambang keindahan alam semula jadi Sabah. Pemilihan “Kalibambang Emas” sebagai rama-rama negeri bukan sahaja melindungi spesies ini, malah memperkukuh kesedaran tentang pentingnya menjaga biodiversiti kita.
Kini, setiap kali melihat rama-rama ini, ingatlah – ia bukan sekadar serangga, tetapi harta karun Sabah yang perlu dihargai.


