Langkah penjimatan kerajaan tidak jejas persiapan Sukma Perak - Exco

12 Apr 2026 • 12:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Khairudin (dua dari kanan) bersama penaja selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Perjanjian Penajaan Akademi Ragbi Ipoh di SMK Anderson, Ipoh pada Sabtu.

IPOH – Langkah penjimatan yang dilaksanakan kerajaan tidak menjejaskan persiapan atlet Perak menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Selangor.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, kerajaan negeri masih menggunakan bajet sedia ada yang telah diluluskan dalam pembentangan Bajet 2026 bagi memastikan kelangsungan latihan atlet.

Menurutnya, walaupun berdepan peningkatan kos, perbelanjaan tetap diurus secara berhemah tanpa menjejaskan program latihan dan persiapan kontinjen negeri.

"Bajet Sukma telah diluluskan sebelum ini dan kita berbelanja berdasarkan kemampuan yang ada. Walaupun keadaan ekonomi mencabar, kita akan pastikan semua 37 jenis sukan yang dipertandingkan dapat digerakkan dengan baik.

"Insya-ALLAH Perak mampu memberi cabaran hebat pada Sukma Selangor 2026 nanti," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian dan Perjanjian Penajaan Akademi Ragbi Ipoh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di sini pada Sabtu.

Hadir sama Pengetua SMK Anderson, Dr Noor Azman Hanif dan Presiden Persatuan Ragbi Daerah Kinta, Mohamad Faizal Haramaini.

Mengulas lanjut, Khairudin memberi jaminan atlet tidak perlu bimbang kerana segala perancangan telah disusun rapi oleh pihak berkaitan.

Katanya, keputusan untuk meneruskan temasya Sukma juga dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa tertinggi yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan sebelum ini bagi mengelakkan peningkatan kos sekiranya berlaku penangguhan.

"Jika ditangguhkan, kos akan bertambah termasuk elaun latihan dan penyelenggaraan. Jadi kita putuskan Sukma diteruskan mengikut bajet yang telah diluluskan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri.

"Justeru, atlet dan jurulatih diminta tidak memikirkan soal itu, sebaliknya memberi fokus kepada latihan, persiapan dan pendedahan bagi menghadapi kejohanan," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan tahap persiapan kontinjen Perak masih belum berada pada tahap memuaskan dan memerlukan pemantauan berterusan.

"Tetapi saya tidak boleh kata puas hati kerana kita ada sasaran yang perlu dicapai. Semua pihak termasuk pengurus, jurulatih, Majlis Sukan Negeri dan persatuan perlu memainkan peranan memastikan sasaran itu realistik dan boleh dicapai.

"Apa yang penting, kita mahu pencapaian pada Sukma kali ini melebihi kutipan pingat pada Sukma Sarawak 2024," katanya.

View Original Article