amree04/08/2026 - 09:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Ogos – Langkah Press Metal Aluminium Holdings Berhad membeli ekuiti dalam PMB Technology Berhad (PMBT) mampu memperkukuhkan kedudukan dalam rantaian nilai aluminium hiliran.
Menurut analisis MBSB Research, usaha syarikat itu dilihat strategik dan perlu untuk berdepan cabaran berterusan akibat kelembapan industri silikon global dan kerugian yang masih ditanggung oleh PMBT.
Tambah firma penyelidikan itu, pengambilalihan tambahan kepentingan bernilai RM465 juta itu memberi kelebihan jangka panjang kerana membuka ruang perluasan pengeluaran produk nilai tambah (VAP).
"Ini mengurangkan kebergantungan jualan aluminium primer, dan susulan itu kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Press Metal dengan harga sasaran (TP) RM9.66 berbanding RM9.78," katanya.
Ujar MBSB Research, sejurus urus niaga itu dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga 2026, pegangan dalam PMBT akan naik daripada 23.2% kepada 58.8%, menjadikan syarikat tersebut sebagai subsidiari.
Harga pengambilalihan 70 sen sesaham itu disifatkan menarik kerana mewakili diskaun 4.1%, manakala keseluruhan transaksi dibiayai dana dalaman tanpa memberi kesan ketara kepada prestasi kewangan.

Cabaran utama Press Metal ketika ini ialah perniagaan logam silikon masih mengalami lebihan stok dari China selain permintaan hiliran perlahan, menyebabkan operasi terus mencatatkan kerugian.
"Justeru, kumpulan merancang menukar kemudahan pengeluaran logam silikon berkapasiti 72,000 tan setahun kepada pengeluaran aloi silikon-aluminium yang ada prospek kukuh," jelas MBSB Research.
Pertumbuhan produk berkenaan ujarnya, amat pesat didorong permintaan industri automotif ringan, tenaga boleh diperbaharui (RE) serta pembangunan pusat data (DC) berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Rancangan Press Metal itu turut memanfaatkan bekalan tenaga hidro RE sebanyak 129MW yang dimiliki PMBT di Sarawak, dan memberi akses kepada sumber tenaga untuk pengembangan kapasiti peleburan.
MBSB Research menganggarkan kesan kepada keuntungan adalah terhad, iaitu RM35.6 juta setahun atau 2% daripada unjuran keuntungan FY27, menjadikan manfaat strategik jangka panjang jauh lebih besar.
"Pada masa sama, Press Metal dijangka terus menikmati prospek kukuh apabila kilang alumina PT KAN di Indonesia memulakan operasi pada 2027, dan membekalkan 40% keperluan alumina kumpulan," katanya.
Selain itu, paras inventori global yang rendah, peningkatan permintaan dan pelaburan grid elektrik dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan pendapatan dalam jangka sederhana. - DagangNews.com






