SWS Capital jual 3 hartanah industri berjumlah RM15.5 juta di Muar kepada Seng Seang Trading

24 Jul 2026 • 2:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SWS Capital jual 3 hartanah industri berjumlah RM15.5 juta di Muar kepada Seng Seang Trading Image from: SWS Capital jual 3 hartanah industri berjumlah RM15.5 juta di Muar kepada Seng Seang Trading amree24/07/2026 - 14:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 JulaiSWS Capital Berhad mengorak langkah strategik dengan merealisasikan nilai aset pelaburannya di Muar, Johor, sekali gus meraih dana baharu yang berjumlah RM15.5 juta.

 

Ujar kumpulan itu, penjualan tiga unit hartanah tersebut melibatkan dua subsidiarinya, UD Wood Products Sdn Bhd dan Syarikat UD Trading Sdn Bhd yang memeterai perjanjian jual beli (SPA) pada 22 Julai 2026.

 

Aset industri itu terletak di Mukim Bakri dan dibeli Seng Seang Trading Sdn Bhd, sebuah syarikat tempatan yang terlibat aktif dalam aktiviti perdagangan produk pengguna isi rumah dan perkhidmatan gudang.

 

"Hartanah pertama melibatkan sebuah kilang dan gudang dua tingkat di atas tanah pajakan 99 tahun seluas 5,502 meter persegi dijual dengan harga RM4.533 juta," kata SWS Capital kepada Bursa Malaysia.

 

Sementara hartanah kedua dan ketiga pula merangkumi sebidang tanah industri pajakan serta sebuah pejabat dua tingkat serta kilang satu tingkat yang masing-masing RM1.677 juta dan RM9.29 juta.

 

Kumpulan itu berkata, rasional pelupusan ini membolehkan ia mengoptimumkan penggunaan modal dengan mengerahkan semula hasil jualan bagi usaha niaga lain dalam unit operasinya yang lebih kompetitif.

 

SWS Capital_DagangNews2026

 

Daripada aspek kewangan, SWS Capital dijangka meraih keuntungan bersih sebanyak RM2.015 juta hasil daripada pelupusan ini bagi tahun kewangan sejurus urus niaga tersebut dapat disempurnakan kelak.

 

"Syarikat berhasrat menggunakan sebahagian besar hasil, iaitu RM14.495 juta bagi penyelesaian amaun tertunggak oleh subsidiari terlibat kepada syarikat induk secara serta-merta," tambahnya.

 

Baki dana akan diperuntukkan bagi pembayaran cukai keuntungan harta tanah (RPGT) yang dianggarkan berjumlah RM927,000 serta menampung perbelanjaan berkaitan proses pelupusan hartanah tersebut.

 

Urus niaga dilaksanakan SWS Capital ini dijangka selesai menjelang suku keempat 2026, tertakluk syarat-syarat terdahulu termasuk perolehan kelulusan pindah milik daripada pihak berkuasa negeri.

 

Lembaga Pengarah berpendapat pelupusan ini demi kepentingan terbaik kumpulan, memandangkan nisbah peratusan tertinggi transaksi ini hanya 10.7% dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved