Langkawi Bukan Untuk Diambil: Kedah Tegas Tolak Status Wilayah Persekutuan

LocalPolitics
30 Apr 2026 • 11:17 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Langkawi Bukan Untuk Diambil: Kedah Tegas Tolak Status Wilayah Persekutuan

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah menegaskan pendirian tegas untuk tidak sesekali membenarkan Pulau Langkawi dijadikan Wilayah Persekutuan, walaupun wujud pelbagai cadangan dan tekanan daripada pihak tertentu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang usaha ke arah itu akan ditentang habis-habisan kerana Langkawi adalah hak negeri dan rakyat Kedah.

Ada Agenda Tersirat Disebalik Isu Langkawi

Menurut beliau, terdapat pihak yang didakwa cuba memburukkan imej Langkawi bagi mengurangkan kehadiran pelancong, sekali gus membuka ruang kepada agenda lain.

“Ada pihak yang cuba bermacam-macam cara untuk memburukkan Langkawi supaya orang tidak datang. Saya percaya ada agenda tertentu untuk menjadikan Langkawi sebagai Wilayah Persekutuan.

“Langkah mayat kami dulu, kami tidak akan benarkan, buatlah apa cara sekalipun,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Lantikan Majlis Ketua Kampung (MKK) Daerah Langkawi sesi 2026–2028 melibatkan 118 penerima.

Beliau turut mendakwa kemungkinan wujud agenda tertentu di sebalik usaha mengubah status ‘Permata Kedah’ itu.

“Sekarang dikatakan, mereka jumpa sumber minyak di pelantar benua antara Langkawi dan Pulau Pinang. Jika Langkawi dijadikan Wilayah Persekutuan, mereka yang untung besar. Yang seronok mereka ambil, yang pedih bagi kepada kita. Mana boleh kawal macam itu,” katanya lagi.

Pembangunan Bukan Alasan Rampas Hak Negeri

Sehubungan itu, beliau berharap cadangan menjadikan Langkawi sebagai Wilayah Persekutuan tidak lagi dibangkitkan, selain menegaskan pembangunan pulau tersebut tidak wajar dijadikan alasan untuk merampas hak negeri.

“Tanah Persekutuan banyak, bangunkanlah yang ada. Jangan ambil tanah kita. Bila negeri membangun termasuk Langkawi, ekonomi negara juga akan berkembang.

“Jangan ada keinginan atau cadangan jadikan Langkawi sebagai Wilayah Persekutuan, baru nak bangunkan pulau ini, tindakan itu tidak betul. Kami menentang cadangan seperti itu,” jelasnya.

Tolak Model Phuket, Kekal Identiti Langkawi

Mengulas lanjut, Sanusi berkata kerajaan negeri akan memastikan Langkawi yang dihuni kira-kira 120,000 penduduk serta menerima jutaan pelancong setiap tahun terus membangun mengikut acuan sendiri.

Tambahnya, Kedah juga tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan Langkawi seperti Phuket atau Hat Yai yang dikaitkan dengan industri hiburan tidak terkawal.

“Ada yang suruh kita meniru Phuket jika nak maju. Mana boleh macam tu. Kita tak mahu budaya tak elok dibawa masuk. Langkawi ada identiti sendiri. Kalau nak semua benda seperti itu, pergi Phuket. Kita tolak industri perjudian dan hiburan melampau.

“Pelancongan kita berkonsepkan keluarga, menikmati alam sekitar, geopark, laut serta makanan yang sedap dan murah,” katanya.

Ekonomi Langkawi Bergantung Kepada Pelancongan

Beliau juga berharap keunikan semula jadi Langkawi terus dikekalkan sebagai tarikan utama pelancong.

“Bukan kita tak mahu kemajuan tapi kita mahu budaya yang sihat dan pelancongan yang memberi rezeki halal untuk semua orang. Jadi marilah ke Langkawi dengan ciri-ciri yang ada di sini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengusaha makanan di Langkawi supaya tidak mengenakan harga tidak munasabah yang boleh menjejaskan imej pulau berkenaan.

“Jangan manipulasi harga, jangan jual terlalu mahal. Memang kos di sini sedikit tinggi kerana bekalan dari tanah besar, tetapi biarlah berpatutan supaya pelancong tidak serik,” ujarnya.

Sanusi berkata majoriti penduduk Langkawi bergantung kepada sektor pelancongan termasuk penginapan, pengangkutan, makanan dan perkhidmatan, justeru semua pihak perlu menjaga imej pulau itu.

“Ada banyak sektor perlu diberi perhatian. Pulau Tuba pun kita akan bangunkan sektor pelancongan juga,” tambahnya lagi. – The Malaysian Update sanusisanusu

The post Langkawi Bukan Untuk Diambil: Kedah Tegas Tolak Status Wilayah Persekutuan appeared first on The Malaysian Update.