"Kami Tidak Akan Benarkan Langkawi Dijadikan Wilayah Persekutuan" - Sanusi

LocalPolitics
30 Apr 2026 • 9:45 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

"Kami Tidak Akan Benarkan Langkawi Dijadikan Wilayah Persekutuan" - Sanusi

"Kami Tidak Akan Benarkan Langkawi Dijadikan Wilayah Persekutuan" - Sanusi

Kerajaan Negeri Kedah menegaskan pendiriannya untuk tidak sesekali membenarkan Pulau Langkawi dijadikan Wilayah Persekutuan, meskipun terdapat pelbagai tekanan dan cadangan daripada pihak tertentu.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang usaha ke arah itu akan ditentang sekeras-kerasnya kerana pulau peranginan berkenaan merupakan hak negeri serta rakyat Kedah.

“Ada pihak yang cuba bermacam-macam cara untuk memburukkan Langkawi supaya orang tidak datang. Saya percaya ada agenda tertentu untuk menjadikan Langkawi sebagai Wilayah Persekutuan

“Langkah mayat kami dulu, kami tidak akan benarkan, buatlah apa cara sekalipun,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Lantikan Majlis Ketua Kampung (MKK) Daerah Langkawi sesi 2026-2028 melibatkan 118 penerima.

Mendakwa wujud agenda mengubah status 'Permata Kedah'

Beliau turut mendakwa kemungkinan wujud agenda tertentu di sebalik usaha mengubah status ‘Permata Kedah’ itu.

“Sekarang dikatakan, mereka jumpa sumber minyak di pelantar benua antara Langkawi dan Pulau Pinang. Jika Langkawi dijadikan Wilayah Persekutuan, mereka yang untung besar. Yang seronok mereka ambil, yang pedih bagi kepada kita. Mana boleh kawal macam itu,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap cadangan menjadikan Langkawi sebagai Wilayah Persekutuan tidak lagi dibangkitkan, selain menegaskan pembangunan pulau tersebut tidak wajar dijadikan alasan untuk merampas hak negeri.

“Tanah Persekutuan banyak, bangunkanlah yang ada. Jangan ambil tanah kita. Bila negeri membangun termasuk Langkawi, ekonomi negara juga akan berkembang

“Jangan ada keinginan atau cadangan jadikan Langkawi sebagai Wilayah Persekutuan, baru nak bangunkan pulau ini, tindakan itu tidak betul. Kami menentang cadangan seperti itu,” jelasnya.

Kedah tidak setuju Langkawi dijadikan seperti Phuket atau Hat Yai

Terdahulu, pada 13 November lalu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mencadangkan agar kerajaan Persekutuan mentadbir Langkawi sebagai Wilayah Persekutuan atau zon antarabangsa bagi membolehkan pembangunan pelancongan diurus dengan lebih terancang.

Mengulas lanjut, Sanusi berkata kerajaan negeri akan memastikan Langkawi yang dihuni kira-kira 120,000 penduduk serta menerima jutaan pelancong setiap tahun terus membangun mengikut acuan sendiri.

Tambahnya, Kedah juga tidak bersetuju dengan cadangan menjadikan Langkawi seperti Phuket atau Hat Yai yang dikaitkan dengan industri hiburan tidak terkawal.

“Ada yang suruh kita meniru Phuket jika nak maju. Mana boleh macam tu. Kita tak mahu budaya tak elok dibawa masuk. Langkawi ada identiti sendiri. Kalau nak semua benda seperti itu, pergi Phuket. Kita tolak industri perjudian dan hiburan melampau

“Pelancongan kita berkonsepkan keluarga, menikmati alam sekitar, geopark, laut serta makanan yang sedap dan murah,” katanya.

Penduduk Langkawi bergantung kepada sektor pelancongan

Beliau juga berharap keunikan semula jadi Langkawi terus dikekalkan sebagai tarikan utama pelancong.

“Bukan kita tak mahu kemajuan tapi kita mahu budaya yang sihat dan pelancongan yang memberi rezeki halal untuk semua orang. Jadi marilah ke Langkawi dengan ciri-ciri yang ada di sini,” jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengusaha makanan di Langkawi supaya tidak mengenakan harga tidak munasabah yang boleh menjejaskan imej pulau berkenaan.

“Jangan manipulasi harga, jangan jual terlalu mahal. Memang kos di sini sedikit tinggi kerana bekalan dari tanah besar, tetapi biarlah berpatutan supaya pelancong tidak serik,” ujarnya.

Sanusi berkata majoriti penduduk Langkawi bergantung kepada sektor pelancongan termasuk penginapan, pengangkutan, makanan dan perkhidmatan, justeru semua pihak perlu menjaga imej pulau itu.

“Ada banyak sektor perlu diberi perhatian. Pulau Tuba pun kita akan bangunkan sektor pelancongan juga,” tambahnya lagi.


View Original Article