
KUALA LUMPUR - Usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali, Selangor disambung semula pada jam 8 pagi ini.
Misi hari kedua itu memfokuskan pencarian mangsa yang masih hilang dalam insiden terbabit.
Ia ditangguhkan lewat malam tadi susulan faktor cuaca dengan menyaksikan 21 ditemui meninggal dunia, manakala 12 masih gagal dijumpai.
Terdahulu awal pagi semalam, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.24 pagi berhubung kejadian itu dan tiba di lokasi kira-kira jam 3 pagi.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Kuala Kubu Bharu, BBP Rawang, BBP Genting Highlands, BBP Sentosa, BBP Ampang, BBP Pandan, BBP Kota Anggerik, BBP Kajang, BBP Andalas dikerahkan ke lokasi.
Kejadian itu dilaporkan berlaku apabila tanah runtuh berketinggian 30 meter berhampiran ladang organik itu, menghempap tapak perkhemahan yang berdekatan dengan jalan.
Getaran membawakan pembaca perkembangan hari kedua misi terbabit.
7.10 petang - Acryl Sani menegaskan sukarelawan, badan bukan kerajaan (NGO) tidak dibenar berada di lapangan bantu operasi SAR.
6.06 petang - Pengusaha tapak perkhemahan Father’s Organic Farm akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan, kata Acryl Sani.
6.03 petang – Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani tiba di pusat operasi di Batang Kali untuk taklimat mengenai perkembangan terkini misi pencarian mangsa yang masih tertimbus.

5.33 petang - Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan empat mangsa di Hospital Selayang berada dalam keadaan stabil.
5.32 petang - Terdapat kira-kira 128 anggota mencari dan menyelamat bertugas ketika ini, kata pusat operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

5.28 petang - Lima lagi van mayat dari Nirvana meninggalkan Hospital Sungai Buloh. Ini menjadikan jumlah mayat yang sudah dikenal pasti dan dituntut keluarga mereka hari ini kepada tujuh. Difahamkan, proses pengecaman mayat lain masih diteruskan.
5.22 petang - Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor mengesahkan satu lagi mayat kanak-kanak perempuan ditemukan, menjadikan angka korban kini 24 orang.

4.34 petang - Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail singgah di Hospital Selayang untuk melawat mangsa tanah runtuh yang menerima rawatan perubatan di sana.
4.26 petang - Sebuah van mayat dari Xiao En Memorial Park yang membawa salah seorang mangsa telah meninggalkan Hospital Sungai Buloh. Sebelum beredar, doa penganut agama Buddha untuk mendiang kedengaran ketika kakitangan hospital dan ahli keluarga memasukkan mayat ke dalam van.
3.51 petang - Tiga van mayat dari Nirvana Memorial tiba di Hospital Sungai Buloh. Difahamkan beberapa mayat mangsa sudah dikenal pasti dan sedia untuk dituntut oleh keluarga mereka.

3.35 petang - Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kementeriannya akan meneliti insiden Batang Kali secara holistik.
“Kita (kementerian) akan meneliti perkara itu secara holistik berdasarkan laporan diterima. Saya difahamkan perkara itu boleh disebabkan isu pembangunan berlebihan, tetapi hujan lebat juga mampu menjadi faktor.
“Saya tidak mahu membuat spekulasi tetapi kita akan meneliti perkara itu,” katanya pada satu acara hari ini.
3.20 petang - Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, pihaknya bersedia untuk menyertai operasi SAR di Batang Kali.
“TUDM sentiasa bersedia mengerahkan anggota dan asetnya untuk membantu dalam operasi menyelamat,” katanya kepada media selepas acara di Alor Setar, Kedah hari ini.
3.00 petang - Enam daripada 23 mangsa yang meninggal dunia telah dikenal pasti melalui proses pengecaman oleh waris atau melalui ujian cap jari.

2.47 petang - Polis mengesahkan bahawa pengendali tapak perkhemahan Father’s Organic Farm akan dipanggil bagi memberi keterangan
2.40 petang - Menurut keterangan polis, kedua-dua mayat yang ditemui dalam misi SAR hari ini, dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Sungai Buloh.
2.09 petang - Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengeluarkan nama mangsa yang dikenal pasti setakat jam 7 pagi hari ini.
2.00 petang - Dua mayat, masing-masing wanita dan kanak-kanak lelaki dibawa keluar dari runtuhan pada jam 1.20 petang tadi yang menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 23 orang setakat ini. Dimaklumkan kedua-duanya dibawa ke hospital dengan kenderaan polis.
1.50 petang - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memberi sokongan psikososial kepada keluarga mangsa terbabit, selain menggesa agar privasi keluarga dihormati semasa proses pengecaman sedang dijalankan.
1.42 petang - Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Mohd Hasry Nor Mohd menerusi sidang media di pusat operasi SAR memaklumkan, kebanyakan daripada 25 tapak perkhemahan di kawasan berisiko tinggi di daerah itu sedang dalam proses memohon permit.
1.25 petang - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menggunakan pintu masuk berbeza untuk ‘memintas’ kumpulan wartawan di Hospital Sungai Buloh. Beliau tiba pada jam 12.30 tengah hari dan dipercayai menghadiri taklimat kakitangan hospital dan bertemu ahli keluarga mangsa.

12.13 tengah hari - Operasi SAR hari ini sukar berikutan masih berlaku aliran air di kawasan runtuhan - Pengarah JBPM Selangor

12.13 tengah hari - Lokasi 12 mangsa hilang masih belum dikenal pasti - Pengarah JBPM Selangor

12.00 tengah hari - Polis pada sidang media di Batang Kali memaklumkan 21 mayat yang ditemui tidak mempunyai dokumen pengenalan diri justeru anggota keluarga diminta tampil ke hadapan.
12.00 tengah hari - Ahli keluarga mangsa tanah runtuh di Father’s Organic Farm Batang Kali mula tiba di unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk melakukan proses pengecaman identiti hari ini.

10.02 pagi - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tiba di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh bagi menemui ahli keluarga mangsa yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh.
9.20 pagi - Kementerian Luar menerusi kenyataan mengesahkan tiga rakyat Singapura ditemui selamat, selain sedang giat berusaha untuk memastikan semua yang terjejas dalam kejadian itu diberi bantuan segera.
8.47 pagi - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menutup semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi, termasuk lereng bukit serta air terjun berkuat kuasa serta-merta, sehingga tarikh dimaklumkan kemudian.
8.00 pagi - Usaha SAR mangsa kejadian tanah runtuh disambung semula pada jam 8 pagi ini.


