KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Penantian seorang ibu selama tujuh tahun demi keadilan kematian anaknya yang terjatuh akibat lantai bas yang reput sehingga berlubang, berakhir apabila Mahkamah Tinggi di sini pada 20 April lalu memerintahkan lima pihak termasuk pemandu bas dan guru besar membayar ganti rugi berjumlah RM17,573.
Allahyarham Wan Mohammed Adam Mohd Suria ketika kejadian baru berusia 12 tahun, dalam perjalanan menaiki kenderaan itu untuk menyertai program pendidikan di Besut, Terengganu bersama 30 murid lain.
Wan Mohammed Adam dari sebuah sekolah kebangsaan di Machang mengikuti program ‘English Booster Week’ UPSR 2019 di bawah Program Empower ECER Academic Training yang dianjurkan Institut Pendidikan Neo (iNED), Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Tragedi berlaku pada jam 11.40 pagi pada 4 Julai 2019 lalu apabila arwah didapati terjerlus dari lantai bas yang reput sebelum terjatuh atas jalan di Kilometer 12, Jalan Pasir Puteh-Machang-Grik.
Malangnya, nyawa kanak-kanak itu tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ibu mangsa, Nik Hasmani Mohamed, 51, selaku plaintif mengambil tindakan undang-undang terhadap lima pihak iaitu pemandu bas, Shalahudin Ibrahim, 53; pemilik bas, Mohamad Che Su, 71; Guru Besar, Ahmad Sanusi Ramlee, 63, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga kelima.
Plaintif turut menamakan Pengarah Institut Neo (Ined) Universiti Teknologi Mara (Uitm) dan universiti itu sebagai pihak ketiga.
Berdasarkan alasan penghakiman bertarikh 20 April lalu yang dimuat naik pada Ahad, Hakim, Mohd Rosli Yusoff membenarkan ganti rugi khas RM7,573 serta ganti rugi kesedihan dan kedukacitaan RM10,000 kepada plaintif.
Mahkamah mendapati Nik Hasmani berjaya membuktikan tuntutannya dan menetapkan liabiliti keseluruhan sebanyak 100 peratus terhadap pihak yang dipertanggungjawabkan.
Mohd Rosli berkata, tragedi itu mungkin dapat dielakkan sekiranya pemandu bas bertindak tegas dengan melarang murid berjalan atau bergerak ke sana sini ketika perjalanan.
Menurutnya, pemandu juga mempunyai kuasa untuk menghentikan kenderaan jika terdapat murid yang enggan mematuhi arahannya.
“Mahkamah ini mendapati bahawa kemalangan dalam kes ini mungkin boleh dielakkan jika pemandu bas tersebut, bertindak tegas dengan melarang kanak-kanak daripada berjalan-jalan atau merayau ke sana sini semasa dalam perjalanan tersebut.
“Defendan pertama juga boleh menghentikan bas tersebut jika terdapat mana-mana kanak-kanak yang degil dan gagal mendengar arahannya,” katanya.
Mahkamah berkata, perkara itu tidak dilakukan walaupun pemandu berkenaan merupakan satu-satunya orang dewasa di dalam bas dan mempunyai kuasa serta kawalan penuh terhadap perjalanan serta keselamatan murid.
Mahkamah turut mendapati kemalangan berkenaan boleh dielakkan sekiranya pemilik bas menyediakan kenderaan yang kukuh dan selamat untuk digunakan.
Mohd Rosli berkata, mahkamah berpuas hati bahagian lantai hadapan bas, tempat mangsa terjerlus dan terjatuh, sememangnya telah reput serta tidak kukuh.
“Jika pemilik bas menggantikan keseluruhan lantai kenderaan dengan lantai yang baharu dan kukuh, kejadian ini tidak akan berlaku walaupun kanak-kanak berkeliaran dan melompat-lompat,” katanya.
Bukan itu sahaja, mahkamah mendapati guru besar ketika kejadian cuai dalam melaksanakan tanggungjawabnya memastikan keselamatan murid.
Menurut mahkamah, guru besar berkenaan menyerahkan urusan pelepasan murid yang menyertai program itu kepada penolong kanan sekolah, pada pagi kejadian kerana beliau perlu melayan tetamu.
Mahkamah berpandangan tindakan itu menunjukkan kegagalan mengambil berat terhadap tugas hakiki sebagai guru besar dan memastikan keselamatan murid, sebaliknya memberi lebih tumpuan kepada urusan peribadi.
Katanya, guru besar berkenaan juga bukan sahaja gagal menyediakan guru pengiring, malah tidak memastikan kehadiran pegawai pengiring yang dikatakan akan disediakan oleh pihak penganjur, iaitu Pengarah iNED.
“Guru besar sepatutnya tidak membenarkan bas tersebut bergerak ke destinasi sehinggalah pegawai pengiring tersebut telah berada di atas bas tersebut.
“Kegagalan itu turut dipikul defendan keempat dan kelima selaku pegawai atasan serta majikan guru besar berkenaan secara vikarius,” katanya.
Dalam pada itu, mahkamah tidak mengenakan sebarang liabiliti walaupun terdapat keterangan bahawa mangsa berjalan di dalam bas.
Mohd Rosli berkata, perbuatan sedemikian merupakan perkara yang boleh dijangkakan berlaku apabila kanak-kanak berada dalam rombongan bersama rakan sebaya tanpa pengawasan orang dewasa.
Berdasarkan keseluruhan fakta, mahkamah memutuskan defendan-defendan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kematian mangsa.
Pembahagian liabiliti ditetapkan dengan defendan pertama dan kedua masing-masing merangkumi keseluruhan 50 peratus tanggungan, manakala defendan ketiga hingga kelima 25 peratus dan pihak ketiga pertama serta kedua turut 25 peratus.
Nik Hasmani sebelum itu turut menuntut RM1 juta masing-masing bagi ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
Bagaimanapun, mahkamah menolak kedua-dua tuntutan berkenaan kerana ganti rugi teruk hanya diberikan sekiranya perbuatan defendan tergolong dalam kategori berniat jahat, menyinggung perasaan secara melampau, menyebabkan tekanan fikiran atau emosi, penghinaan serta menjejaskan maruah plaintif.
“Mahkamah mengakui kehilangan dan kematian ahli keluarga yang disayangi merupakan satu kejadian tragis, tanpa mengira keadaan atau cara kematian berlaku.
“Saya simpati kepada keluarga mangsa atas kehilangan tersebut namun mahkamah tidak boleh membuat keputusan atau memberikan jumlah ganti rugi berdasarkan emosi semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, ini kerana mahkamah terikat kepada fakta, undang-undang dan keputusan terdahulu oleh mahkamah lebih tinggi.
Dalam prosiding berkenaan, plaintif diwakili peguam, Wan Mohd Zuhdi Wan Abdullah bersama Norazham Yahaya.
Defendan pertama dan kedua pula diwakili peguam, Khazan Bakhtiah Muhamad Asrinani bersama Aidi Haizorin Abdullah, manakala defendan ketiga hingga kelima diwakili Peguam Persekutuan, Ahmad Armi Najamuddin Azmi.
Pihak ketiga pertama dan kedua diwakili peguam, Nor Shahirah Azmin.


