Lapan ahli sindiket along termasuk remaja diberkas

1 Nov 2023 • 6:28 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan lapan ahli sindiket along termasuk seorang remaja kerana melakukan khianat dengan api, menyimbah cat serta mengugut mangsa dalam beberapa siri serbuan pada 22 hingga 25 Okt lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat (gambar) berkata kesemua lelaki tempatan berusia 16 hingga 43 tahun itu ditahan di sekitar Seri Alam, Kota Tinggi dan Segamat oleh sepasukan Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah Johor dengan kerjasama polis daerah.

Beliau berkata sindiket along tersebut dipercayai telah aktif sejak Ogos lepas dengan ahli menerima upah bagi khianat dengan api sebanyak RM1,000 dan RM600 bagi menyimbah cat.

“Ahli sindiket ini mendapat upah daripada kegiatan tersebut sebagai ugutan jenayah ke atas mangsa yang gagal membuat bayaran pinjaman,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor DCP M. Kumar.

Kamarul Zaman berkata hasil serbuan, pihaknya turut merampas 15 telefon bimbit, tong cat warna merah, sarung tangan, tin semburan cat warga hitam, nota ugutan, topeng muka plastik serta tiga kereta iaitu Perodua Bezza, Proton Waja dan Proton Saga.

Beliau berkata menerusi tangkapan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan 45 kes berkaitan di daerah Johor Bahru, Kluang, Iskandar Puteri, Kulai, Seri Alam, Kota Tinggi, Muar, Pontian, Batu Pahat dan Segamat, termasuk empat kes di Melaka dan satu di Negeri Sembilan.

Sementara itu beliau berkata modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan mengiklankan tawaran pinjaman di Facebook dengan menggunakan ayat pinjaman wang berlesen Singapura bagi memperdayakan mangsa.

“Jika peminjam memberikan maklumat peribadi berkaitan akaun bank, alamat dan tempat tinggal, sindiket akan terus memasukkan wang ke dalam akaun tanpa persetujuan peminjam.

“Peminjam juga dipaksa membuat bayaran dengan kadar faedah yang tinggi, sekiranya tidak akur, orang suruhan akan melakukan perbuatan khianat,” katanya.

Kamarul Zaman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan. -Bernama