Polis tumpas 'Geng Acoy', aktif curi motosikal berkuasa tinggi

13 Oct 2023 • 7:22 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Polis berjaya menumpaskan ‘Geng Acoy’ yang disyaki aktif melakukan kegiatan mencuri motosikal berkuasa tinggi sejak awal bulan lepas dengan penahanan empat ahli kumpulan itu termasuk seorang wanita, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof (gambar) berkata kesemua mereka yang berusia 27 hingga 44 tahun itu ditahan dalam serbuan di Sepang dan Kajang, Selangor, selain polis turut merampas antaranya empat motosikal jenis Yamaha R25 dan sebuah motosikal Ducati Monster.

Beliau berkata kumpulan terbabit menjalankan kegiatan mencuri pada awal pagi dengan menyasarkan motosikal berkuasa tinggi di kawasan pangsapuri sekitar Sepang dan Kuala Langat.

“Motosikal yang dicuri ini akan dijual kepada penagih dadah dengan harga antara RM500 dan RM1,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata dengan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan enam kes curi motosikal berkuasa tinggi melibatkan kerugian keseluruhan RM80,000.

Menurutnya kesemua suspek direman hingga Isnin ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan. -Bernama