Lapan ekar hutan terbakar di Sandakan

LocalEnvironment
1 Apr 2026 • 3:53 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SANDAKAN: Satu kebakaran hutan melibatkan kawasan seluas kira-kira lapan ekar berlaku di Residensi Borneo Cove, Jalan Buli Sim-Sim, pagi Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Jimmy Lagung berkata Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.44 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan dikerahkan ke lokasi kejadian.

Operasi pemadaman melibatkan seramai lapan anggota yang diketuai oleh Komander Operasi, PBK I Chauslim Sunsubin.

Turut membantu di lokasi adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Jimmy berkata kebakaran itu tidak membabitkan sebarang struktur bangunan dan tiada mangsa dilaporkan terlibat.

Pasukan bomba bertindak menggunakan kaedah pemerap api (fire beater) bagi mengawal dan memadam kebakaran sebelum api dikawal sepenuhnya pada jam 1.44 petang.

Setakat ini, operasi pemadaman masih belum ditamatkan bagi memastikan tiada sisa kebakaran yang boleh mencetuskan semula api.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kebakaran terutama dalam keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.