
JAKARTA – Lapan ekor orang utan yang diselamatkan daripada kebakaran hutan di Pulau Borneo baru-baru ini telah dilepaskan semula ke kawasan hutan simpan, menurut pihak berkuasa Indonesia bersama pasukan penyelamat hidupan liar.
Menurut kenyataan bersama Kementerian Kehutanan Indonesia dan Yayasan Inisiasi Alam Indonesia (YIARI), kumpulan orang utan berkenaan diselamatkan dari beberapa lokasi yang terjejas teruk akibat kebakaran, kebanyakannya di kawasan ladang berhampiran habitat asal mereka, di wilayah Kalimantan Barat bulan lalu.
Lapan ekor orang utan tersebut, yang merangkumi tiga pasangan ibu dan anak serta dua ekor jantan remaja, telah dipindahkan ke Hutan Simpan Batu Nyambu di Kalimantan Barat, sebuah kawasan perlindungan seluas 23,000 hektar yang merangkumi hutan primer dan sekunder.
Ketua Pegawai Eksekutif YIARI, Karmele Llano Sanchez, menjelaskan bahawa pemindahan haiwan tersebut ke lokasi baharu merupakan langkah mendesak berikutan habitat asal mereka yang tidak lagi selamat.
“Perlindungan habitat sentiasa menjadi keutamaan tertinggi bagi memastikan orang utan mempunyai persekitaran yang selamat.
“Namun, selagi habitat mereka terus terancam, operasi menyelamat adalah tindakan terbaik untuk memastikan kelangsungan hidup spesies ini,” kata Sanchez.
Pengarah Operasi YIARI, Argitoe Ranting, menambah bahawa kawasan simpanan berkenaan dipilih atas faktor ketersediaan sumber makanan dan air serta ketersambungannya dengan kawasan hutan yang lain.
“Kami mahu memastikan orang utan yang diselamatkan ini bukan sekadar dipindahkan, tetapi benar-benar mempunyai peluang untuk terus hidup di habitat semulajadi mereka,” jelasnya.
Menurut Ketua Agensi Sumber Daya Alam tempatan, Murlan Dameria Pane, pihak berkuasa Indonesia dengan kerjasama YIARI telah berjaya menyelamatkan sebanyak 46 ekor orang utan daripada ancaman kebakaran sepanjang tempoh Ogos hingga 9 Oktober lalu.
Spesies orang utan kini dikategorikan sebagai amat terancam.
Menurut data Tabung Alam Sedunia (WWF), populasi orang utan di Borneo dan Sumatera kini dianggarkan berbaki sekitar 104,000 ekor, merosot drastik berbanding lebih 230,000 ekor pada abad lalu.
Bulan lalu, Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) turut mengeluarkan amaran bahawa kebakaran hutan yang berlaku sedang menjejas kawasan habitat yang menempatkan sehingga 52 peratus daripada keseluruhan populasi orang utan di Borneo.
Indonesia sering berdepan ancaman kebakaran hutan saban tahun menjelang musim kemarau.
Walau bagaimanapun, situasi tahun ini dilaporkan semakin buruk akibat fenomena cuaca El Nino yang dijangka antara yang terkuat dalam tempoh empat dekad. – AFP
The post Lapan ekor orang utan selamat daripada kebakaran dilepaskan semula ke hutan appeared first on Kosmo Online.





