Lapangan terbang utama di Arab Saudi diserang, ragut 12 nyawa, lebih 300 cedera

11 Oct 2026 • 9:44 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lapangan terbang utama di Arab Saudi diserang, ragut 12 nyawa, lebih 300 cedera

ISTANBUL –  Seramai 12 orang terkorban manakala 309 yang lain cedera dalam serangan di lapangan terbang utama di ibu negara Arab Saudi pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi memetik pihak berkuasa penerbangan awam.

Pihak berkuasa penerbangan awam memaklumkan bahawa empat warga Arab Saudi, dua warga Bangladesh serta masing-masing seorang warga Amerika Syarikat (AS), Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan terkorban dalam serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid itu.

Menurut pihak berkuasa berkenaan, mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di hospital, dengan beberapa daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.

Serangan itu turut menyebabkan kerosakan harta benda, dengan pihak berkuasa masih menjalankan penilaian terhadap kerosakan berkenaan.

Pihak berkuasa penerbangan awam sebelum ini memaklumkan bahawa operasi lapangan terbang itu digantung sementara susulan serangan di Riyadh bagi membolehkan pegawai menilai kerosakan serta mengesahkan tahap keselamatan kemudahan lapangan terbang berkenaan.

Penggantungan operasi itu menyebabkan gangguan penerbangan, dengan penumpang dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum menuju ke lapangan terbang.

Kuwait Airways turut membatalkan penerbangan pergi dan balik ke Riyadh pada semalam susulan penutupan lapangan terbang itu.

Serangan berkenaan berlaku ketika ketegangan semakin meningkat susulan beberapa siri serangan misil dan dron oleh kumpulan Houthi terhadap lapangan terbang serta kemudahan di Arab Saudi sejak beberapa hari kebelakangan ini. -BERNAMA

The post Lapangan terbang utama di Arab Saudi diserang, ragut 12 nyawa, lebih 300 cedera appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved