Lapisan putih pada bayi baru lahir? Ini penjelasannya

Health & Fitness
28 Dec 2025 • 8:00 PM MYT
Public Health M'sia
Public Health M'sia

Public Health M'sia shares simple, relatable health education.

Image from: Lapisan putih pada bayi baru lahir? Ini penjelasannya
Gambar: Public Health M'sia

Pernah tak anda tengok bayi baru lahir, kulit dia ada lapisan putih berkrim macam losyen pekat, kadang nampak macam “keju” melekat pada badan? Ramai mak ayah terus panik. Ada yang cepat-cepat gosok kuat sebab takut kotor, ada juga yang dengar orang tua cakap “itu sebab mak bapak berlemak”.

Tenang. Itu namanya vernix caseosa. Ia normal, dan ia sebenarnya antara “pelindung paling awal” untuk kulit bayi.

Vernix terbentuk masa bayi masih dalam rahim. Bayi duduk dalam air ketuban berbulan-bulan, jadi kulit dia perlukan lapisan yang lindungi daripada jadi terlalu lembik, mudah iritasi, dan mudah luka. Bila bayi keluar ke dunia luar yang lebih sejuk dan kering, vernix bantu kulit bayi adapt dengan lebih selesa. Ia juga bantu kekalkan kelembapan, kurangkan geseran pada kulit, dan ada fungsi perlindungan semula jadi pada permukaan kulit.

Sebab tu kadang vernix banyak pada lipatan badan seperti leher, ketiak, celah paha, belakang telinga atau kulit kepala. Bayi pramatang selalunya lebih banyak, itu juga biasa.

Kalau bayi anda lahir dengan vernix, tak perlu sental kasar. Cukup lap yang perlu sahaja, kemudian ratakan perlahan pada kulit bayi macam sapu losyen. Biarkan ia meresap sendiri. Hari-hari awal pun tak perlu mandi terlalu kerap atau guna sabun kuat dan wangi, sebab kulit bayi memang sensitif dan mudah kering.

Dan ini mitos yang paling kerap buat orang salah faham:

  • Ada yang kata vernix tanda mak ayah berlemak. Bukan.
  • Ada yang kata itu kotor, kena scrub baru bersih. Tak perlu, malah boleh lukakan kulit.
  • Ada yang takut kalau tak basuh cepat nanti jadi kulat atau penyakit. Vernix bukan kulat, dan ia boleh hilang sendiri.
  • Ada yang fikir vernix tanda bayi tak sihat. Kebanyakannya normal.
  • Ada yang panggil vernix “najis dalam rahim”. Bukan, ia lapisan pelindung kulit bayi.

Apa yang patut buat anda berjaga-jaga bukan vernix. Tapi kalau kulit bayi jadi merah teruk, bengkak panas, bernanah, melepuh, berbau, atau bayi demam, lemah, menyusu kurang, cepat rujuk jururawat atau doktor.

Mak ayah selalu nak buat yang terbaik sampai benda normal pun kita rasa perlu “betulkan”. Tapi untuk vernix, kadang yang paling baik ialah biarkan perlindungan semula jadi itu buat kerja dia dulu.


Public Health M'sia (publichealthmalaysia@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.