Laporan Awal Nahas Pesawat Diketahui 2 Minggu Lagi

29 Aug 2023 • 4:48 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Laporan awal punca nahas pesawat di Elmina akan dimuatnaik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan dalam tempoh 30 hari dari tarikh nahas. - gambar fail

KUALA LUMPUR - Rakaman data kokpit nahas pesawat Beechcraft 390 di Elmina telah berjaya diperoleh dan kini sedang dalam siasatan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan perkara tersebut dan memberi jaminan laporan awal akan didedahkan dalam tempoh dua minggu dari hari ini.

Hasil daripada siasatan tersebut akan diketahui umum selepas dimuat naik di laman Kementerian Pengangkutan dalam tempoh 30 hari selepas nahas berlaku.

"Data tersebut berjaya diperoleh dari semua rakaman suara dalam pesawat tersebut terutamanya 30 minit terakhir sehingga nahas berlaku.

"Rakaman itu telah dihantar semula ke pasukan siasatan kita di Kuala Lumpur. Ia sedang dianalisis dan akan disiasat.

"Laporan awal akan dikeluarkan 30 hari selepas insiden (atau) kira-kira dua minggu lagi," katanya dalam satu sidang media Kementerian Pengangkutan hari ini.

Rakaman tersebut dikirim dari makmal L3 Harris di Florida, Amerika Syarikat kepada pasukan BSKU negara ini.

Anthony berkata, pasukan penyiasat mengalami kesukaran untuk mendapatkan data tersebut ekoran tahap kemusnahan kokpit yang agak teruk.

Beliau berkata, usaha untuk mendapatkan semula data CVR dengan menghantarnya ke makmal di Singapura juga menemui jalan buntu apabila ia juga gagal.

Justeru, katanya, kerajaan membuat keputusan menghantarnya ke pengeluar asal yang mempunyai fasiliti lengkap bagi tujuan berkenaan.

Namun hasil bantuan daripada pihak makmal itu, rakaman suara kokpit pesawat berkenaan dapat diperoleh dalam keadaan baik.

"Kokpit itu boleh dikatakan mengalami kemusnahan yang agak teruk, jadi kita memang tiada fasiliti untuk menganalisis data dari kokpit.

"Dan nasib menyebelahi kita, bila dihantar ke Florida, mereka berjaya memperoleh data tersebut dan data berada dalam keadaan yang sangat baik. Keseluruhan rakaman yang diperoleh sangat jelas," katanya.

Ahli Parlimen Seremban itu juga berkata, siasatan lanjut akan dijalankan bagi memastikan punca nahas udara itu dapat dikenal pasti.

"Semua rakaman termasuk dua juruterbang itu akan dianalisis sebaik mungkin dan juga apa yang berlaku dalam kokpit dapat dijadikan sebagai satu bahan siasatan untuk mengenal pasti apakah punca berlakunya nahas tersebut," katanya.

Nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina itu mengorbankan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Mereka terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi orang awam, masing-masing penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing yang menggunakan lebuh raya berkenaan. – Getaran, 29 Ogos 2023