Laporan Bloomberg tohmahan tidak berasas, keperluan pengisytiharan harta telah dipatuhi sepenuhnya - SPRM

LocalPolitics
11 Feb 2026 • 7:41 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Laporan Bloomberg tohmahan tidak berasas, keperluan pengisytiharan harta telah dipatuhi sepenuhnya - SPRM image is not available hamden11/02/2026 - 07:41

KUALA LUMPUR 11 Feb - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius laporan media terkini berhubung Ketua Pesuruhjaya yang mengandungi pernyataan mengelirukan serta tohmahan tidak berasas. 

 

SPRM dalam kenyataan berkata, gambaran seolah-olah terdapat kegagalan membuat pengisytiharan harta adalah tidak benar dari segi fakta dan memberi tanggapan yang mengelirukan terhadap kerangka integriti dan tatakelola yang mengawal suruhanjaya itu dan perkhidmatan awam.

 

Katanya, laporan tersebut bukan sahaja menjejaskan imej dan reputasi pegawai berkenaan malah secara tidak berasas mengaitkan SPRM dengan dakwaan salah laku yang boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap Suruhanjaya ini.

 

"SPRM ingin menjelaskan bahawa pengisytiharan harta oleh penjawat awam adalah tertakluk kepada tadbir urus dan prosedur pentadbiran yang telah ditetapkan di bawah rangka kerja perkhidmatan awam dan dibuat melalui saluran rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan.

 

"Sehubungan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM telah mematuhi sepenuhnya keperluan pengisytiharan harta yang berkuat kuasa, termasuk pengisytiharan melalui Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung sumber pendapatan serta pemerolehan dan pelupusan aset termasuk saham," kata kenyataan itu.

 

Tambah kenyataan itu, gambaran salah berkenaan sekali gus memberi persepsi yang negatif ke atas Suruhanjaya ini sebagai sebuah agensi penguatkuasaan.

 

Tegasnya, SPRM kekal komited dalam menegakkan amanah, integriti dan ketelusan dalam pelaksanaan tugas-tugas statutori yang diamanahkan, serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan untuk menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan awam terhadap Suruhanjaya ini melalui pelaporan yang tidak tepat dan tidak bertanggungjawab. - DagangNews.com

 

image is not available

 

Terkini featured standard