
Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (Mindet) akan membentangkan laporan kemalangan kereta api dengan motosikal troli di Tenom dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah minggu depan.
Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick berkata telah meminta laporan daripada Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS).
“Laporan siasatan awal telah diberikan kepada saya dan juga dipanjangkan kepada Pejabat Ketua Menteri Sabah, Khamis.
“Saya akan membentangkan laporan siasatan ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 11 Mac,” katanya dalam kenyataan, Khamis.
Ewon berkata pembentangan laporan itu bagi memaklumkan perkembangan siasatan kepada Jemaah Menteri Sabah selain menentukan tindakan susulan bersesuaian berhubung insiden tersebut.
Pada 3 Mac, kereta api itu melanggar empat motosikal troli di KM134/4 Pangi, Tenom, dipercayai akibat hilang kawalan susulan masalah brek.
Ketua Polis Daerah Tenom Superintenden Azmir Abd Razak berkata kemalangan 8 pagi itu menyebabkan seorang lelaki cedera ringan.
Sementara itu, Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) telah mengaktifkan siasatan dalaman susulan insiden kemalangan melibatkan perkhidmatan kereta api dan sebuah motosikal troli di KM134/4 landasan kereta api Tenom ke Pangi pada Selasa lepas.
JKNS dalam kenyataan Khamis, memaklumkan siasatan itu dijalankan melalui Badan Penyiasatan Dalam selaras dengan prosedur penyiasatan yang sedang berkuat kuasa.
Menurut kenyataan itu, JKNS turut membuat laporan di Balai Polis Tenom bagi memaklumkan insiden berkenaan dan untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.
JKNS memaklumkan sebarang tindakan susulan akan ditentukan berdasarkan hasil laporan Board Of Enquiry, selaras dengan peruntukan yang termaktub dalam Enakmen Keretapi 2017.
Insiden tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
JKNS turut menyatakan rasa kesal atas kejadian itu dan memaklumkan siasatan dalaman jabatan serta polis sedang giat dijalankan.


