
Kota Kinabalu: Laporan teknikal komprehensif sedang disediakan untuk mengenal pasti punca kejadian runtuhan bongkah batu baru-baru ini, di Sandakan, dan untuk membangunkan strategi mitigasi jangka panjang, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya.
Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengaktifkan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) untuk menilai tapak dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Kami komited untuk memastikan keselamatan orang ramai, khususnya di kawasan yang terjejas akibat runtuhan batu atau tanah runtuh.
“Sebaik laporan ini siap, ia akan menyediakan analisis mendalam mengenai insiden itu dan membantu kami melaksanakan penyelesaian jangka panjang bagi mengelak kejadian serupa pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri peringkat negeri di SICC, Sabtu.
Shahelmey, yang juga Menteri Kerja Raya, berkata siasatan awal menunjukkan keadaan cuaca, terutamanya hujan lebat berterusan, memainkan peranan penting.
“Walaupun cuaca faktor penyumbang utama, kami mahu memahami semua aspek yang membawa kepada kejadian itu. Ini akan membolehkan kami mengambil langkah proaktif untuk bergerak ke hadapan,” katanya.
Daily Express melaporkan pada Jumaat bahawa tanah runtuh menyebabkan bongkah batu terhempas ke atas Jalan Buli Sim Sim menuju ke arah Taman Grandview, pada pagi Khamis (3 April). Tiada kejadian tidak diingini dilaporkan
“Laporan itu bukan sahaja akan mengenal pasti punca tetapi juga akan mengesyorkan penyelesaian praktikal seperti penstabilan cerun dan sistem pemantauan lebih baik.
“Kami sedang mengkaji langkah mitigasi jangka panjang, termasuk infrastruktur dan teknologi lebih baik untuk memantau dan mencegah jenis insiden ini,” katanya.
Beliau menggesa pengguna jalan raya supaya berhati-hati, terutama di kawasan berbukit atau tanah runtuh, ketika musim hujan ini.
“Semasa cuaca tidak menentu ini, semua pengguna jalan raya perlu sentiasa berwaspada terutama di kawasan berisiko tanah atau batu runtuh. Keselamatan adalah keutamaan kita,” katanya.
Beliau memberi jaminan Kerajaan Negeri kekal komited sepenuhnya terhadap keselamatan infrastruktur, dengan usaha penstabilan cerun dan pemantauan berterusan sebagai keutamaan.
“Kerja kami masih jauh dari selesai. Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada keselamatan infrastruktur dan memastikan kita bersedia untuk sebarang insiden masa depan,” tambahnya.



