Laporan Polis 2015 Babitkan Ketua Pengarah AKPS Mahu Disemak Semula

LocalPolitics
23 Nov 2026 • 4:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Laporan Polis 2015 Babitkan Ketua Pengarah AKPS Mahu Disemak Semula

KUALA LUMPUR – Seorang bekas anggota polis memohon polis dan Jabatan Peguam Negara menyemak semula laporan polis berhubung dakwaan serangan membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, pada 2015.

Permohonan itu dibuat selepas bekas anggota polis berkenaan tidak lagi boleh mengambil tindakan sivil susulan tamat tempoh had masa untuk memfailkan saman.

Peguamnya, Kamal Hisham Ja’afar berkata, tuntutan sivil berkenaan terhalang di bawah Seksyen 6 Akta Had Masa 1953 yang menetapkan tempoh enam tahun bagi tindakan sedemikian.

Katanya, anak guamnya kini bergantung kepada pihak berkuasa untuk menyemak semula laporan polis yang dibuat pada 2015 serta menjalankan siasatan secara adil terhadap dakwaan berkenaan.

Dalam kenyataan bersama peguam Muhammad Nor Tamrin, Kamal Hisham berkata, semakan semula laporan itu merupakan satu-satunya saluran yang masih ada untuk anak guamnya mendapatkan keadilan berhubung kejadian yang didakwa berlaku di Hilir Perak.

Bekas anggota polis itu mendakwa Mohd Shuhaily menyerangnya pada 19 November 2015 ketika beliau berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak.

Dakwaan berkenaan dilaporkan pada 28 Oktober lalu, dengan Kamal Hisham mendakwa tiada tindakan diambil susulan laporan polis yang dibuat anak guamnya. 

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Mohd Shuhaily, Muhammad Rafique Rashid Ali mempersoalkan masa dakwaan itu dibangkitkan, termasuk sama ada ia bertujuan mewujudkan persepsi negatif terhadap anak guamnya.

Perkembangan itu berlaku ketika Mohd Shuhaily turut berdepan kes berasingan apabila beliau didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu atas pertuduhan menyerang dua anggota polis di Kaunter J, Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 28 September lalu.

Dalam kes berkenaan, Kamal Hisham berkata, saman sivil yang difailkan kedua-dua anggota polis itu telah diserahkan kepada peguam Mohd Shuhaily pada 11 November lalu.

Mahkamah Sesyen Sepang menetapkan 4 Disember depan bagi pengurusan kes secara fizikal yang pertama.

Koperal Muhammad Ekmal Sofwan Driman dan Koperal Mohammad Faiz Muhamad memfailkan writ saman serta pernyataan tuntutan pada 4 November lalu menerusi Tetuan Kamal Hisham & Associates.

Mereka menamakan Mohd Shuhaily sebagai defendan tunggal dan menuntut ganti rugi berhubung dakwaan penahanan salah di sisi undang-undang, serangan serta fitnah.

Kedua-dua plaintif mendakwa perbuatan yang dipertikaikan itu dilakukan Mohd Shuhaily atas kapasiti peribadinya, bukannya dalam kapasiti rasmi atau bagi pihak Kerajaan Malaysia. - Getaran, 23 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved