
KUALA LUMPUR - Larangan penggunaan telefon pintar bagi pelajar bawah 16 tahun antara tiga langkah segera dicadang Jemaah Menteri bagi menangani isu keselamatan di sekolah termasuk kes buli dan jenayah keganasan yang semakin membimbangkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya juga mendapati kesan pengaruh media sosial dan ‘games online’ kadang-kala menjurus kepada banyak tindakan jenayah.
“Itu kita akan ambil tindakan melarang penggunaan ‘smartphone’ untuk pelajar-pelajar umur rakyat 16 tahun ke bawah. Penelitiannya masih lagi dibuat, tapi banyak negara telah melaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, PPAM Seruling, Putrajaya.
Anwar turut menekankan keperluan memperkukuh kandungan pendidikan berasaskan nilai dan akhlak, dengan penglibatan aktif ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memantapkan kesejahteraan pelajar.
“Perkara yang diteliti seperti yang saya sebut, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek akan memberikan penjelasan yang lebih luas. Saya harap pengetua, guru besar, guru-guru, ibu bapa bagi kerjasama sepenuhnya,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri mengingatkan pengetua dan guru besar supaya tidak melindungi kes salah laku pelajar atas alasan menjaga imej sekolah.
“Keutamaan pengetua, guru besar, dia nak melindungi imej sekolah. Anak-anak menggulung, bertempur. Dia duduk kira imej sekolah. Jadi sebab itu kita harus juga menekankan mereka (guru besar) supaya bertanggungjawab.
“Kalau ada dilindungi, maka dianggapkan satu kesalahan. Maknanya melindungi jenayah. Kadang-kadang kerana kes buli itu kecil.
“Ini saya dengar sendiri, kadang-kadang kan dalam masa-masa begini di Jumaat jumpa anak-anak (mereka ceritakan). Jadi buli itu kecil, jadi ingat tak apa. Tapi yang kecil yang kalau dibiarkan akan menjadi besar,” katanya lagi. - 17 Oktober, 2025
The post Larang guna telefon pintar antara 3 langkah segera tangani isu keselamatan sekolah appeared first on Scoop.


