
KUALA LUMPUR - Larangan penuh terhadap penjualan rokok elektronik dan produk vape bakal dilaksanakan di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan tersebut bagaimanapun akan dilakukan scara berperingkat.
Menurut beliau, ia akan dimulakan dengan pengharaman ke atas peranti sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua bentuk produk berkaitan vape.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menangani isu penyalahgunaan produk vape yang semakin membimbangkan dan memberi kesan buruk kepada kesihatan awam,” katanya.
Dr Dzulkefly menyatakan demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Negara hari ini.

Jelas beliau, tiada garis masa rasmi ditetapkan setakat ini, namun perbincangan awal telah diadakan antara Kementerian Kesihatan dengan beberapa kementerian lain dan agensi utama kerajaan.
“Antara yang terlibat termasuk Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Pejabat Penasihat Undang-Undang,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata, hasil daripada perbincangan itu bersama cadangan pelaksanaan, akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi mendapatkan kelulusan dasar.
Keputusan Kabinet ini katanya, akan menjadi asas kepada penguatkuasaan larangan penuh penjualan vape di seluruh negara.
Menjawab soalan Senator Baharuddin Ahmad, Dr Dzulkefly menegaskan bahawa kerajaan komited untuk melindungi rakyat daripada kesan buruk penggunaan vape, sejajar dengan amalan beberapa negeri yang telah mengambil langkah lebih awal.
“Sehingga kini, enam kerajaan negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang memutuskan untuk tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen peruncitan vape melalui pihak berkuasa tempatan masing-masing.
“Tindakan ini adalah langkah proaktif yang wajar dipuji kerana selaras dengan agenda kesihatan awam negara,” katanya.
Beliau menarik perhatian, langkah kerajaan pusat ini juga mencerminkan konsensus nasional yang semakin jelas mengenai keperluan kawalan lebih ketat terhadap produk vape.
“Ini terutamanya untuk produk vape yang dipasarkan kepada golongan muda tanpa kawalan jelas,” katanya. - Getaran, 10 September 2025

