Larangan produk optik China untungkan Malaysia

Business & Finance
10 Aug 2026 • 8:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Larangan produk optik China untungkan Malaysia

PETALING JAYA: Cadangan Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan Amerika Syarikat (FCC) memperluas senarai produk yang dilindungi bagi menyekat import transceiver optik model baharu keluaran China dijangka membuka peluang kepada pemain teknologi Malaysia.

AmInvestment Bank Bhd berkata, walaupun langkah itu bertujuan mengurangkan kebergantungan Amerika Syarikat (AS) terhadap pembekal China, kesan jangka pendeknya mungkin lebih membebankan syarikat skala besar AS berbanding vendor optik China.

Katanya, ini berikutan kedudukan dominan pengeluar China dalam pasaran global serta kekurangan pembekal alternatif.

“Cadangan larangan itu boleh mempercepatkan peralihan rantaian bekalan dari China dan AS ke Malaysia, sekali gus memberi manfaat kepada syarikat terpilih yang sudah mempunyai pendedahan dalam pasaran optik.

“Bagi pengeluar semikonduktor Malaysia dan ASEAN, perkembangan ini boleh membuka lebih banyak peluang dalam fotonik termaju, pemasangan optik, pengujian serta pembungkusan apabila syarikat multinasional mempelbagaikan pengeluaran keluar dari China,” katanya dalam nota penyelidikan.

Bank pelaburan berkata, transceiver optik memainkan peranan penting dalam pusat data kecerdasan buatan (AI) kerana ia menukar isyarat elektrik kepada isyarat optik bagi membolehkan komunikasi berkelajuan tinggi antara unit pemprosesan grafik (GPU), suis dan pelayan.

Dengan pengembangan kelompok AI yang pesat, keperluan terhadap lebar jalur rangkaian turut meningkat, menyebabkan transceiver optik berkembang daripada komponen telekomunikasi komoditi kepada modul berkelajuan tinggi seperti 400G, 800G dan 1.6T yang sedang muncul.

Berdasarkan data Counterpoint Research, Zhongji Innolight menguasai kira-kira 27 peratus hasil pasaran transceiver optik pusat data global.

Coherent pula berada di tempat kedua dengan kira-kira 17 peratus bahagian hasil transceiver, diikuti Eoptolink, satu lagi pembekal China.

Secara keseluruhan, pengeluar modul optik China termasuk Innolight, Eoptolink, Accelink dan Source Photonics menguasai hampir dua pertiga bekalan unit global dan kira-kira 60 peratus hasil transceiver optik datakom global.

AmInvestment Bank berkata, tiga pemain utama di Malaysia yang mempunyai penglibatan dalam pasaran modul optik ialah Inari Amertron Bhd, NationGate Holdings Bhd dan EG Industries Bhd.

“Inari Amertron terlibat dalam pemasangan dan pengujian cip modul transceiver optik untuk Customer L, manakala NationGate terbabit dalam pemasangan dan pengujian produk rangkaian untuk Customer C.

“EG Industries pula mempunyai pemindahan teknologi daripada Cambridge Industries Group yang berpangkalan di China.

“Cadangan larangan ini berpotensi menjadi pemangkin kepada pemindahan rantaian bekalan ke Malaysia,khususnya dalam aktiviti bernilai lebih tinggi seperti fotonik termaju, pemasangan, pengujian dan pembungkusan optik,” katanya.

AmInvestment Bank mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor teknologi. – UTUSAN

The post Larangan produk optik China untungkan Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved