amree05/08/2026 - 11:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Ogos – Cadangan Amerika Syarikat (AS) menyekat model baharu alat penghantaran optik buatan China dijangka membuka peluang pertumbuhan lebih luas kepada syarikat teknologi Malaysia.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) dalam analisisnya berpandangan, langkah sekatan baharu itu akan menyaksikan pengeluar global mempercepatkan pemindahan kapasiti pengeluaran keluar dari China.
Walaupun ketegangan geopolitik AS-China terus menjadi cabaran rantaian bekalan global, perkembangan itu akan memberi kelebihan kepada negara alternatif seperti Malaysia menerusi strategi 'China+1'.
"Syor tersebut hanya melibatkan model generasi baharu, membolehkan produk berteknologi tinggi seperti transceiver 1.6-terabit untuk pasaran AS dihasilkan di luar China sejak peringkat awal," jelasnya.
HLIB berkata, keadaan itu meningkatkan kepentingan kemudahan pembuatan yang dipercayai dari sudut asal pengeluaran, dan mengukuhkan kuasa penetapan harga dalam kalangan pembekal di luar China.
China ketika ini menguasai lebih separuh bekalan dunia, namun syarikat antarabangsa sudah mula memperluaskan operasi pembuatan mereka di Asia Tenggara bagi memenuhi permintaan pelanggan global.

Dalam kalangan syarikat tempatan, ia melihat Inari Amertron Berhad sebagai antara penerima manfaat kerana perniagaan fotonik pusat data (DC) disokong peningkatan pengeluaran laser indium fosfida.
"Selain itu, potensi pertumbuhan disokong kemungkinan peningkatan penyumberan luar dari pelanggan baharu jika sekatan AS mempercepatkan rancangan pengembangan kapasiti pengeluaran," kata HLIB.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM2.60 sesaham, manakala NationGate Holdings Berhad berpotensi menikmati pemulihan pendapatan apabila pelanggan meningkatkan tempahan.
Sementara itu, EG Industries Berhad turut berpeluang meraih manfaat menerusi kerjasama Cambridge Industries Group (CIG), yang memilih Malaysia sebagai hab pengeluaran alternatif bukan China.
Bagaimanapun, HLIB berkata impak sebenar masih bergantung kepada takrif 'pembekal China' yang bakal diputuskan oleh Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) AS, termasuk penilaian pemilikan syarikat.
"Walaupun cadangan itu masih boleh dipinda atau ditarik balik, kami mengekalkan syor 'overweight' terhadap sektor teknologi dengan memilih UWC Berhad, Inari Amertron dan Unisem (M) Berhad," tambahnya.
Tiga syarikat tersebut dinilai sebagai saham perkakasan pilihan, manakala ITMAX System Berhad kekal pilihan utama firma itu dalam segmen aplikasi kecerdasan buatan (AI). - DagangNews.com





