Larian Berpakaian Tidak Senonoh & Songsang: “Tindakan Telah Diambil, Tiada Toleransi Di Johor” – TMJ

LocalPolitics
7 Oct 2024 • 11:06 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Baru-baru ini, kecoh di media sosial penularan beberapa gambar acara larian di Johor yang memperlihatkan segelintir peserta berpakaian songsang, tidak senonoh serta lucah.

Perkara terbabit mendapat perhatian ramai memandangkan segelintir peserta acara larian tersebut dilihat seolah-olah mempromosikan budaya lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT).

Program larian bukan anjuran kerajaan negeri atau mana-mana agensi kerajaan

Penularan gambar-gambar tersebut mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan bahawa progam Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Desaru Kota Tinggi itu bukanlah anjuran kerajaan negeri mahupun mana-mana agensi kerajaan di sana.

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di Johor.

“Setelah berhubung dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penganjur, objektif penganjuran acara tersebut bukanlah seperti yang dinyatakan dan kejadian yang berlaku adalah di luar kawalan pihak penganjur.

“Kerajaan negeri memandang serius isu ini dan telah meminta siasatan lanjut dijalankan oleh pihak PDRM,” katanya menerusi satu kenyataan pada 5 Oktober lalu.

Johor tak akan bertolak ansur dengan perkara sedemikian

Sementara itu, Pemangku Sultan Johor, Tengku Mahkota Ismail turut menegaskan bahawa negeri itu tidak akan bertolak ansur dengan perkara sedemikian.

Titah baginda menerusi satu ciapan semalam (6 Oktober), tindakan sudah diambil terhadap pihak yang terlibat.

“Tindakan telah diambil dan pelaku telah ditangkap. Tiada toleransi di Johor,” ciap baginda.

Tiga lelaki sudah ditahan polis untuk bantu siasatan

Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, tiga lelaki sudah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

Menurut M Kumar, dua lelaki warga asing dan seorang warga tempatan berusia antara 39 hingga 70 tahun ditahan di sebuah hotel di Kota Tinggi pada jam 10 malam, Sabtu lalu.

Jelasnya, pakaian serta aksesori yang dipercayai dipakai ketika larian terbabit termasuk sari berwarna merah, skirt warna merah, tiga keping kadbod berwarna perak dan batang tombak tiruan berwarna perak turut dirampas.

image is not available

“Hasil ujian air kencing juga mendapati kesemua suspek negatif sebarang jenis dadah dan kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Siasatan awal mendapati tindakan yang dilakukan oleh ketiga-tiga suspek adalah atas kapasiti individu dan bukan mewakili pihak penganjur atau program larian yang dianjurkan.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan yang menghina dan Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam,” katanya dipetik Awani.