
Pada 6 Oktober lalu, tular di media sosial satu hantaran mengenai sebuah program larian yang diadakan di Johor.
Apa yang menjadi perhatian adalah ada di antara peserta program tersebut berpakaian songsang, tidak sopan dan menjolok mata.
Perbuatan mereka itu mendapat perhatian ramai termasuklah Pemangku Sultan Johor, Tengku Mahkota Ismail dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ekoran daripada itu, Kerajaan Negeri Johor telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung penganjuran program tersebut.
Malah, Ketua Polis Johor mengesahkan pihaknya telah menahan tiga orang lelaki yang terdiri daripada dua warga asing dan seorang warga tempatan di sebuah hotel yang terletak di Kota Tinggi, Johor pada Sabtu (5 Oktober) jam 10 malam.
Ketika ditahan, polis menemui dan merampas pakaian serta aksesori yang dipercayai dipakai ketika larian terbabit termasuk sari dan skirt berwarna merah, tiga keping kadbod berwarna perak dan batang tombak tiruan berwarna perak.
Baca Artikel Berkaitan: Larian Berpakaian Tidak Senonoh & Songsang: “Tindakan Telah Diambil, Tiada Toleransi Di Johor” – TMJ
Peserta Larian Dikenakan Denda RM5,000 Seorang
Terbaharu, dua lelaki warga asing yang merupakan peserta program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 pada Jumaat (4 Oktober) lalu mengaku bersalah atas perbuatan lucah yang mendatangkan kegusaran orang lain ditempat awam serta berpakaian menjolok mata.
Mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Tinggi Johor pada hari ini (7 Oktober).
Ekoran itu, Majistret NurKhalida Farhana Abu Bakar menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau satu bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan kepada warga Taiwan Arthur Wang dan warga India, Satyanarayana Prasad Papoli.
Mengikut pertuduhan ke atas Arthur Wang, warga emas berusia 66 tahun itu didakwa melakukan perbuatan lucah yang mendatangkan kegusaran orang lain di tempat awam dengan berpakaian menjolok mata di jalan utama Desaru, Daerah Pengerang.
Manakala, Satyanarayana Prasad Papoli yang berusia 70 tahun didakwa melakukan perbuatan yang sama dengan berpakaian menjolok mata di perkarangan Lotus Desaru Hotel, Pengerang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 4 hingga 6 petang dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama dengan hukuman penjara maksimum tiga bulan dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Warga Asing Mohon Maaf, Dakwa Pakaian Dipakai Merupakan Pakaian Orang Asli
Arthur yang juga merupakan seorang pesara dan aktivis telah memohon maaf dan meminta rayuan agar hukumannya diringankan atas alasan dia tidak berapa mengenali dan memahami budaya di negara ini.
Selain itu, dia juga turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pakaian yang dipakainya adalah pakaian Orang Asli di Orchid Island, Taiwan.
Dia memilih untuk memakai pakaian tersebut bagi mempromosi budaya masyarakat itu.
“Saya minta maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia atas kesalahan ini sehingga menyinggung perasaan rakyat di negara ini dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.
Pada masa yang sama, Satyanarayana yang merupakan seorang bekas peguam turut memohon maaf dan meminta mahkamah agar denda dikurangkan kerana dia telah berusia 70 tahun, mempunyai isteri yang bertugas sebagai doktor serta datang ke Malaysia bagi mengikuti program Amal.
Walau bagaimanapun, mahkamah menetapkan kedua-dua tertuduh membayar dengan RM5,000 setiap seorang dan penjara satu bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Ghafar Ab Latif, Ahmad Khairuddin Khalid dan Foo Fang Leong.
Sebelum ini, Abdul Ghafar Ab Latif memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman yang dapat memberi pengajaran bukan sahaja hanya kepada tertuduh tetapi kepada warga asing dan rakyat tempatan lain agar berpakaian sopan dan mengikut adat serta budaya negara yang dilawati.
Baca Artikel Berkaitan: Larian Berpakaian Tidak Senonoh & Songsang: “Tindakan Telah Diambil, Tiada Toleransi Di Johor” – TMJ
Source:


