
NAMPAK tegas dan berdisiplin, namun susuk tubuh seorang angkasawan negara ini tersimpan
kelembutan seorang bapa yang sentiasa bangga dengan pencapaian anak-anaknya.
Manakan tidak, melihat anak gadis membesar menjadi seorang yang cekal dan berbakat
besar di balapan pastinya menyentuh sudut hati terdalam seorang ayah.
Baru-baru ini, Datuk Sheikh Muszaphar Shukor berkongsi momen penuh emosi dan keterujaan
mengenai anak keduanya, Tasha, yang menyertai pertandingan larian 400 meter di Kejohanan Sukan Olahraga TKC.

Walaupun beliau sendiri tidak dapat hadir bersama kerana perlu menghadiri majlis penyampaian anugerah Kumon untuk seorang lagi anaknya, Adam, namun sokongan dan jiwanya tetap
berada di tepi padang bersama Tasha. Tugas menyokong di lokasi kejohanan diserahkan sepenuhnya kepada isteri tercinta, Datin Dr Halina, yang menggalas tanggungjawab itu dengan penuh semangat.
Malah, ketiadaan beliau di sana digantikan dengan perasaan bangga yang tidak berbelah bahagi apabila melihat rakaman video prestasi hebat anak gadisnya itu menerusi skrin digital.
"Sentiasa menyeronokkan melihat Tasha berlari. Membuka jalan, penuh kelajuan, dan tekad yang tinggi.

"Dia kini sedang menyesuaikan diri untuk berlari dengan memakai hijab. Ia bukanlah satu perkara yang mudah.
"Alangkah indahnya jika saya dapat berada di sana," kongsi bapa kepada enam cahaya mata itu.
Perkongsian tersebut ternyata menarik perhatian warga maya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum dan tidak putus-putus mengucapkan tahniah atas kemenangan Tasha yang berjaya merangkul tempat pertama dalam acara berkenaan.
Ramai yang memuji kehebatan Tasha mengekalkan stamina dari awal garisan hinggalah ke penamat.
Lebih menarik, aksi bersahaja Dr Halina yang melonjak kegembiraan menyokong Tasha di tepi padang turut mencuri tumpuan.
Para ibu di media sosial mengakui sangat memahami situasi tersebut, yang mana perasaan gemuruh dan teruja bercampur baur apabila melihat anak sendiri sedang bertarung di medan sukan.

"Ok video ni tak gegar-gegar macam video mommy Dr Halina yang meloncat-loncat kegembiraan di tepi padang. Spot Dr Halina kat bawah tu.. comel sangat! Mak-mak je faham bab menjerit dan meloncat-loncat tengok anak masuk pertandingan."
Selain pujian terhadap kelajuan Tasha yang diumpamakan seperti 'supersonic', lorong larian kelapan yang diundinya juga menjadi topik hangat.
Bagi peminat sukan olahraga, mereka tahu betapa sukarnya menguasai lorong lapan disebabkan cabaran kedudukan selekoh yang memerlukan langkah lebih panjang, namun Tasha membuktikan bahawa lorong luar bukanlah penghalang untuk bergelar juara.
Bukan itu sahaja, memandangkan Tasha kini sedang membiasakan diri bertanding dengan imej berhijab, peminat dan pengikutnya turut mengambil peluang memberikan pelbagai saranan yang membina.

"Masya-ALLAH hebatnya Tasha lari.. dia makan apa power betul lari. Terbaiklah Tasha."
"Pendapat peribadi saya, lorong 8 paling susah sebab dekat selekoh nak potong langkah kena jauh. Tapi sebab Tasha macam supersonic, jadi bukan masalah besar untuk dia dekat mana-mana lorong pun. Haha tahniah Tasha!"
Ramai yang mencadangkan agar Tasha beralih kepada tudung sukan khusus (sports hijab) yang lebih ringan, diperbuat daripada fabrik microfiber, dan direka khas untuk mengurangkan rintangan angin ketika melakukan larian jarak jauh.
"Pergh nombor 1 dari awal. Mungkin Doktor boleh beritahu dia untuk masukkan tudung dalam baju, jadi boleh kurangkan rintangan... Macam budak-budak perempuan dekat maktab dulu."
"Banyak tudung sukan di luar sana Doktor. Semestinya boleh beli satu untuk Tasha, tak ada lagi masalah hijab terbang-terbang nanti masa berlari. Sekadar cadangan, selamat maju jaya dan tahniah Tasha."

