Larikan, kurung lelaki Palestin, buruh binaan dipenjara tiga tahun

12 Oct 2026 • 4:42 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Larikan, kurung lelaki Palestin, buruh binaan dipenjara tiga tahun

KUALA LUMPUR: Seorang buruh binaan dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan melarikan dan mengurung seorang lelaki warga Palestin di sebuah chalet, empat tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhi Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin selepas tertuduh, Edy Ko’im Said, 46, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dikemukakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berjalan bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melarikan secara paksa seorang lelaki warga Palestin berusia 31 tahun dengan niat supaya individu itu dikurung secara rahsia dan salah di sebuah chalet, Jalan Mayang, Dang Wangi, di sini, pada pukul 10.40 malam, 28 September 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda.

Mengikut fakta kes, lelaki Palestin itu dilarikan dan dikurung di sebuah chalet di Hulu Langat.

Bertindak atas maklumat, pihak polis kemudiannya menyerbu lokasi berkenaan dan berjaya menyelamatkan mangsa yang ditemui dalam keadaan tangan serta kakinya diikat dengan pengikat kabel.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadhir Mohd Khairudin memaklumkan, Edy Ko’im sebelum ini didakwa atas pertuduhan menculik namun representasi tertuduh telah diterima dan pertuduhan pilihan telah ditawarkan.

“Pihak kami mohon supaya tertuduh dikenakan hukuman penjara yang sewajarnya dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius,” katanya.

Peguam, Kelvinder Singh Sidhu yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara yang minimum atas alasan anak guamnya perlu menyara isteri serta tiga anak.

Selepas menjatuhkan hukuman tersebut, mahkamah meneruskan prosiding dengan perbicaraan kes culik melibatkan mangsa sama yang dihadapi tujuh lagi tertuduh.

Mereka ialah Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 45; Mohamad Naziree Mustapha, 45; Faizull Hardey Mohd Isa, 46; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 31; Mohd Zaidi Mohd Zain, 60; Nidarahayu Zainal, 40; dan Raibafie Amdan, 45.

Mereka didakwa secara bersama menahan lelaki Palestin berusia 31 tahun itu untuk mendapatkan ganjaran berupa maklumat rahsia berkaitan perisian bagi menggodam telefon bimbit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi, pada tarikh dan masa yang sama mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Tengku Arif Bongsu dan pasangan suami isteri, Nidarahayu serta Raibafie turut berdepan 19 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 melibatkan transaksi bernilai lebih RM250,000.

Pada 10 Julai 2025, enam lelaki turut dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sama.

Hukuman itu diperintahkan terhadap Mohamad Norakmal Hassan, 46; Mohd. Azwan Jamaludin, 42; Dody Junaidi, 47; Mohamad Sufian Saly, 28; Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 54; dan Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 28. – UTUSAN 

The post Larikan, kurung lelaki Palestin, buruh binaan dipenjara tiga tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved