Pekerja restoran tidak mengaku rogol kenalan media sosial hingga hamil

9 Oct 2026 • 2:16 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pekerja restoran tidak mengaku rogol kenalan media sosial hingga hamil

IPOH: Seorang pekerja restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan berusia 14 tahun sehingga hamil, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Al-Fierus Syarkawie Mohd. Khamis, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun enam bulan di sebuah pangsapuri di Jalan Hospital, di dalam daerah Kinta di sini pada pukul 5.15 petang, 1 September 2023.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afrahanim Azureen Arfanuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nor Afrahanim mencadangkan jaminan RM22,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan tidak dibenarkan mendekati atau mengganggu mangsa serta melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan.

Menurut beliau, jumlah jaminan yang tinggi dipohon kerana kes itu pernah disebut di mahkamah sama pada 11 Jun 2025, namun tertuduh gagal hadir sehingga waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

“Tertuduh dan mangsa berkenalan menerusi dalam talian sebelum bertemu secara bersemuka.

“Hubungan mereka kemudiannya berkembang sehingga mereka mempunyai seorang anak bersama. Ibu mangsa mengetahui perkara itu selepas gadis berkenaan memberitahunya bahawa dia hamil,” katanya.

Sementara itu, dalam rayuannya, tertuduh memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan memperoleh pendapatan RM1,800 sebulan dan tinggal bersama bapanya selepas ibu bapanya bercerai.

Ketika ditanya hakim mengenai kegagalannya menghadiri prosiding terdahulu, tertuduh berkata dia tidak mengetahui tarikh berkenaan kerana tidak dimaklumkan mengenainya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 2 Disember depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

The post Pekerja restoran tidak mengaku rogol kenalan media sosial hingga hamil appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved