Lautan Jalur Gemilang warnai perarakan bot di Tumpat

31 Aug 2025 • 2:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sebanyak 53 buah bot nelayan menzahirkan semangat cintakan negara dengan berarak hampir satu kilometer sambil mengibarkan Jalur Gemilang di Pantai Sri Tujoh, Tumpat sempena program Gelombang Samudera Madani Kelantan bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 pada Ahad. Foto: Sinar Harian HAZELEN LIANA KAMARUDIN

image is not available
Nelayan menghias bot-bot mereka dengan Jalur Gemilang sebagai sombol kecintaan pada tanah air.

TUMPAT – Sebanyak 53 buah bot nelayan menzahirkan semangat cintakan negara dengan berarak hampir satu kilometer sambil mengibarkan Jalur Gemilang di Pantai Sri Tujoh di sini sempena program Gelombang Samudera Madani Kelantan bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 pada Ahad.

Selain itu, para nelayan turut menghias bot-bot mereka dengan Jalur Gemilang sebagai simbol kecintaan kepada tanah air.

Perlepasan bot berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil, sambil disaksikan lebih 500 komuniti nelayan dan keluarga yang hadir memeriahkan suasana.

Seorang nelayan, Rodin Jusoh, 62, berkata, dia mengambil masa dua hari untuk menghias bot dengan kos sekitar RM60 sempena penyertaan sulung dalam perarakan tersebut.

**media[3257346]**

“Hampir 30 tahun jadi nelayan, inilah kali pertama kami diberi peluang berarak bot di muara sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

"Seronok tengok semua bot dihias cantik dan ia menjadi kenangan paling bermakna,” katanya.

Bagi Arifin Harun, 40, yang sudah 15 tahun menjadi nelayan, pengalaman menghias bot bersama rakan-rakan membuatkan dia tidak lena tidur dua malam kerana terlalu teruja menunggu acara bersejarah itu.

Justeru, Arifin berharap perarakan bot sebegini dapat dijadikan acara tahunan kerana ia bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotik malah mengeratkan lagi hubungan dalam kalangan komuniti nelayan.

Selain perarakan bot, pelbagai acara lain turut dianjurkan termasuk jamuan rakyat, sukaneka, permainan tradisional serta cabutan bertuah yang berlangsung dari pagi hingga petang.