Lautan Merah Penuhi Dewan Merdeka, Hadir Taklimat Khas Presiden UMNO

Politics
27 Aug 2022 • 3:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Antara penceramah penting hari ini termasuk anak perempuan Najib, Nooryana Najwa yang dijangka menyampaikan amanat bapanya kepada parti - Gambar oleh Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR - Bagai lautan merah. Begitulah keadaan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini apabila Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka memberi taklimat khas kepada kira-kira 3,000 ahli parti yang hadir.

Ini adalah mesyuarat penting ketiga UMNO minggu ini selepas mantan Presidennya, Datuk Seri Najib Razak dihantar ke penjara sejurus Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atas beliau dalam kes SRC International.

Antara penceramah penting hari ini termasuk anak perempuan Najib, Nooryana Najwa yang dijangka menyampaikan amanat bapanya kepada parti.

Setakat jam 2.30 petang tadi, ribuan ahli UMNO sedang menunggu di Dewan Merdeka di WTC untuk mendengar taklimat khas tersebut.

Kakitangan bertugas memaklumkan dewan tersebut berada pada kapasiti penuh dengan 3,000 orang.

Selain itu, peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk Zaid Ibrahim, yang mewakili mantan perdana menteri itu semasa rayuan akhir SRC sebelum digugurkan pada saat akhir juga akan berucap pada sesi taklimat tersebut.

Timbalan Presiden UMNO,  Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut ditemui di dalam dewan.

Beberapa sepanduk dengan kata-kata sokongan untuk Najib turut kelihatan di dalam dewan manakala ada yang membawa plakad dengan muka beliau yang tertera perkataan “Hidup Bossku”.

Terdapat juga beberapa kotak disediakan untuk ahli meninggalkan mesej buat mantan Presiden UMNO itu. – The Vibes, 27 Ogos 2022