

Lawatan Menteri Sumber Manusia Ke Ibu Pejabat Kesatuan National Union Of The Teaching profesion (NUTP)
1. Buat julung kalinya seorang Menteri di Kementerian Sumber Manusia melakukan program turun padang menyantuni pimpinan Kesatan Sekerja di seluruh negara. NUTP amat teruja dan berterima kasih kepada YB Tuan Steven Sim Chee Keong, Menteri KESUMA kerana memilih NUTP dalam rangka kerja beliau berjumpa pemimpin-pemimpin Kesatuan Sekerja.
2. NUTP mengucapkan tahniah dan syabas atas penjenamaan semula Kementerian Sumber Manusia yang kini dikenali sebagai “KESUMA”, yang membawa maksud bunga. Semoga bau harum semerbak bunga KESUMA bakal menyemarakkan lagi suasana Perhubungan Perusahaan yang harmonis di antara majikan/ pekerja di negara ini bersesuaian dengan misi strategik 3K KESUMA, iaitu memperkasakan KEBAJIKAN, KEMAHIRAN dan KEBERHASILAN pekerja.
3. Kunjungan ini jelas menunjukkan kesungguhan dan komitmen YB Encik Steven Sim untuk mengangkat martabat pekerja di Malaysia seperti yang disebut beliau pada sidang media pertama setelah menggalas tugas sebagai Menteri Sumber Manusia. Kunjungan ini memberikan satu harapan besar kepada pihak kesatuan dalam mengangkat dan membela nasib pekerja-pekerja di negara ini. Bagi kami di NUTP, kunjungan ini merupakan satu penghormatan serta pemangkin untuk kerjasama yang lebih erat antara kesatuan sekerja dengan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
4. NUTP akan terus menyokong penuh idealisme dan hala tuju KESUMA serta bersedia bekerjasama dengan lebih erat bagi menjadikan perjuangan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan menjadi satu kenyataan.

5. NUTP mengucapkan terima kasih kepada kerajaan MADANI khasnya YAB Perdana Menteri atas pengumuman pelarasan gaji sebanyak 15% kepada penjawat awam kumpulan pelaksana serta kumpulan pengurusan dan profesional. Hal ini membuktikan bahawa kerajaan MADANI sangat prihatin terhadap isu-isu kos sara hidup yang dihadapi oleh penjawat awam.
6. NUTP juga menyokong langkah kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan dalam perkhidmatan awam sebagaimana kenyataan YAB Perdana Menteri pada 2 September 2024 yang lalu demi memastikan kualiti perkhidmatan awam dapat dipertingkatkan dan relevan dengan keperluan semasa. Pada masa yang sama, NUTP mengharapkan agar reformasi yang bakal berlaku tidak mengurangkan manfaat sedia ada dalam profesion keguruan khasnya laluan kenaikan pangkat secara time-based guru.

7. Sebagai sebuah kesatuan sekerja yang terbesar di Malaysia, NUTP memohon agar diwujudkan kuota anggota tetap daripada NUTP dalam Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC). NLAC adalah badan yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi membolehkan Menteri Sumber Manusia mendapat nasihat, pandangan atau persetujuan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan perburuhan dan sumber manusia di negara ini.
The post Lawatan Menteri Sumber Manusia Ke Ibu Pejabat Kesatuan National Union Of The Teaching profesion (NUTP) appeared first on Siakap Keli.
