
KUALA LUMPUR - Lawatan Presiden Poland, Andrzej Duda ke Malaysia disifatkan amat signifikan dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan tersebut juga berperanan meluaskan kerjasama strategik yang sedia terjalin antara kedua-dua negara.
Menurut beliau, kunjungan Duda ke Malaysia turut selari dengan posisi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan Poland selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) bagi separuh pertama tahun 2025.
“Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Presiden pada Ogos 2015.
“Lawatan ini sekali gus mencerminkan hubungan erat dan mesra yang telah terbina antara kedua-dua negara sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada tahun 1971, berlandaskan prinsip saling menghormati,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Jelas Anwar, Duda dan delegasi telah diberi sambutan rasmi, termasuk pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (RRD) Tentera Darat Malaysia sebaik tiba di Perdana Putra.
“Lawatan ini dijangka merintis jalan ke arah pengukuhan sinergi sedia ada serta meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang.
“Ia termasuk aspek perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, pertanian, sektor halal dan agrokomoditi, pelancongan, serta pendidikan, demi manfaat dan kemajuan bersama-sama,” katanya. - Getaran, 10 Jun 2025


