
KUALA LUMPUR - Malaysia dan Poland komited untuk memperkukuh hubungan dua hala ke tahap yang lebih strategik, inklusif dan menyeluruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara bidang yang menjadi keutamaan termasuk perluasan eksport minyak sawit Malaysia ke pasaran Poland dan Eropah.
Menurut beliau, fokus turut diberi ke arah pengukuhan eksport produk perkayuan yang bernilai tinggi.
“Turut diberi perhatian ialah kerjasama dalam aspek perolehan pertahanan dan perdagangan produk kayu dan balak yang lestari, memandangkan potensi sektor ini dalam menjana nilai tambah ekonomi,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kedua-dua pemimpin turut menyentuh tentang peluang kerjasama dalam sektor elektrik dan elektronik.
Katanya, ia mencakupi pembangunan teknologi baharu seperti hidrogen hijau, selari dengan agenda kelestarian dan peralihan tenaga yang sedang dipacu di peringkat global.
“Kedudukan Poland sebagai rakan strategik Malaysia dalam Kesatuan Eropah menjadikan hubungan ini amat penting untuk terus diperkasa,” katanya.
Anwar memberitahu, jadual rasmi Presiden Andrzej Duda diakhiri dengan jamuan tengah hari di Kompleks Seri Perdana.
“Ia berlangsung dalam suasana penuh harmoni, diserikan dengan persembahan tarian tradisional serta kebudayaan pelbagai kaum yang mencerminkan keindahan, keharmonian, dan kepelbagaian warisan budaya Malaysia.
“Moga hubungan Malaysia–Poland terus diperkukuh dan diperkembangkan, demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara dalam jangka masa panjang,” katanya. - Getaran, 10 Jun 2025



