Lawatan Presiden Xi Jinping ke Malaysia diunjur buka peluang pelaburan baharu selain perdagangan, kata CGS International

LocalBusiness & Finance
15 Apr 2025 • 2:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lawatan Presiden Xi Jinping ke Malaysia diunjur buka peluang pelaburan baharu selain perdagangan, kata CGS International

image is not available

15/04/2025 - 14:56

Gambar Presiden Xi Jinping oleh Johannes Eisele/AFP/Getty Images Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 April - CGS International meramalkan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia boleh membuka laluan kepada pelaburan baharu di luar perdagangan, terutamanya dalam bidang seperti infrastruktur, taman perindustrian, teknologi, dan komoditi.

Bidang utama tersebut merangkumi Projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur–Singapura, Taman Perindustrian Malaysia–China Kuantan (MCKIP), Forest City, semikonduktor, pusat data, dan minyak sawit.

Firma penyelidikan itu berkata, cadangan menghidupkan semula projek HSR yang berkemungkinan mengikuti model reka bentuk-pembiayaan-pembinaan-operasi-pemindahan, mungkin menarik penyertaan dari China dan berpotensi merapatkan jurang pembiayaan.

Katanya, mungkin akan ada pengumuman pelaburan baharu di MCKIP dan pembangunan Forest City di Johor. Selain itu, kerjasama atau pelaburan berpotensi dari China dijangka dalam ekosistem semikonduktor dan sektor pusat data di Malaysia.

Walaupun MIDF Research percaya lawatan Jinping tidak mungkin memberi impak besar kepada perdagangan minyak sawit disebabkan oleh asas ekonomi China yang masih lemah serta ketegangan tarif yang semakin meningkat, CGS International melihat potensi China — pembeli kedua terbesar minyak sawit Malaysia pada tahun 2024 — untuk membuat komitmen meningkatkan pembelian.

Ketika "waktu kritikal" ini, beliau dijadualkan memulakan lawatan tiga hari ke Malaysia bermula hari ini, dengan tujuan memperkukuh hubungan ekonomi dan menangani kebimbangan berhubung kesan tarif perdagangan AS–China ke atas kedua-dua negara, kata MIDF Research.

“Secara keseluruhan, hubungan perdagangan Malaysia–China kekal kukuh dan bersedia untuk pertumbuhan lanjut, disokong oleh keadaan ekonomi yang semakin baik dan kerjasama dua hala yang semakin mendalam,” kata firma penyelidikan itu.

Katanya, kedua-dua negara dijangka memperluas perdagangan dua hala sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian di tengah-tengah tarif AS dan peralihan secara beransur-ansur daripada kebergantungan terhadap pasaran AS.

Dalam laporan berasingan, MIDF Research meramalkan pertumbuhan ekonomi China akan kekal sekitar 5% pada tahun 2025, walaupun berdepan tarif AS sebanyak 145% ke atas barangan China, disokong oleh perbelanjaan domestik yang kukuh.

“Kesan berpotensi daripada kelembapan perdagangan terhadap pertumbuhan ekonomi China dijangka dapat dikurangkan oleh kebergantungan yang semakin rendah terhadap permintaan luaran, dengan pertumbuhan pasca pandemik dipacu terutamanya oleh penggunaan domestik yang kukuh.

“Peralihan strategik ke arah model pertumbuhan yang lebih didorong oleh permintaan domestik ini bertujuan untuk melindungi ekonomi China daripada ketidaktentuan luar dan ketidakstabilan prospek perdagangan global,” katanya.

Beberapa sektor mendapat manfaat daripada pengukuhan hubungan Malaysia–China, mendorong MIDF Research untuk mengekalkan prospek positif terhadap sektor pembinaan, hartanah, amanah pelaburan hartanah (REIT) dan utiliti.

Walaupun sektor teknologi juga dijangka meraih faedah daripada hubungan dua hala yang lebih erat — memandangkan China adalah pasaran kedua terbesar bagi peranti elektronik selepas AS — MIDF Research mengekalkan pendirian neutral terhadap sektor tersebut.

Firma itu turut mengekalkan unjuran neutral terhadap sektor pengangkutan, sambil menyatakan ia mungkin menerima keyakinan susulan lawatan Jinping, didorong hubungan pelancongan yang lebih kukuh dan pendedahan yang terhad terhadap ketegangan perdagangan AS–China. - DagangNews.com

standard