PETALING JAYA – Pemaju hartanah terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) terus mengukuhkan reputasinya dalam industri apabila meraih empat anugerah berprestij pada StarProperty Real Estate Developer Awards 2026.
Pencapaian itu sekali gus menjadi pengiktirafan terhadap komitmen berterusan kumpulan tersebut dalam memperkasa pembangunan hartanah berteraskan reka bentuk unggul, komuniti mampan dan keperluan rakyat.
Pada majlis anugerah berkenaan, LBS menerima ‘Foreign Touch Award’ menerusi projek Centrum Iris, selain ‘Excellence in the Business Estate Award’ bagi projek Taman Perindustrian Alam Perdana serta ‘Excellence in the Starter Home Award’ menerusi pembangunan KITA Sejati.
Malah, kumpulan itu turut tersenarai sebagai antara 10 Pemaju Hartanah Terunggul di Malaysia.
Anugerah berkenaan merupakan platform pengiktirafan yang meraikan pemaju hartanah yang memberi sumbangan signifikan terhadap pembangunan sektor hartanah negara, termasuk pembangunan mampan, mercu tanda ikonik dan perbandaran bersepadu yang meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Pengiktirafan diterima projek Centrum Iris memperlihatkan pendekatan LBS yang menitikberatkan reka bentuk holistik bagi memenuhi keperluan pembeli moden dan memperkayakan kualiti kehidupan harian.
Dalam masa sama, kejayaan Taman Perindustrian Alam Perdana pula mencerminkan komitmen kumpulan itu dalam memperkukuh ekosistem ekonomi negara menerusi pembangunan persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menyokong pertumbuhan industri, keusahawanan dan komuniti bersepadu.
**media[3514333]**
Bagi projek KITA Sejati, pengiktirafan tersebut membuktikan keutamaan LBS dalam menyediakan akses pemilikan rumah berkualiti khususnya kepada keluarga muda serta pembeli rumah pertama.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dr. Lim Hock San berkata, pihaknya berbesar hati menerima pengiktirafan pada anugerah berkenaan.
“Pencapaian ini menegaskan komitmen LBS terhadap kecemerlangan, inovasi dan pembinaan komuniti.
“Anugerah ini juga mencerminkan janji jenama kami, ‘Bersama Membina Masa Depan’, dengan reka bentuk, fungsi dan rakyat menjadi teras kepada setiap pembangunan,” katanya.
Selama lebih tiga dekad, LBS kekal komited membangunkan kediaman berkualiti serta perbandaran bersepadu menerusi pelbagai projek utama di seluruh negara termasuk Bandar Saujana Putra, KITA @ Cybersouth di Dengkil, LBS Alam Perdana dan Cameron Centrum di Pahang.
Kumpulan itu juga sebelum ini diiktiraf sebagai salah satu Syarikat Terurus Terbaik Deloitte di Malaysia selama empat tahun berturut-turut selain menerima pengiktirafan Piawaian Emas.
