LCS lewat siap, armada TLDM usang: Kapal pencen US Coast Guard pun masih bernilai kepada Malaysia

LocalPolitics
16 Sep 2026 • 10:02 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

LCS lewat siap, armada TLDM usang: Kapal pencen US Coast Guard pun masih bernilai kepada Malaysia Image from: LCS lewat siap, armada TLDM usang: Kapal pencen US Coast Guard pun masih bernilai kepada Malaysia johardy16/09/2026 - 10:02 MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

HARI ini 16 September 2026, kita menyambut Hari Malaysia. Kita bercakap mengenai pembentukan Persekutuan, penyatuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada 1963, mengenai wilayah, sempadan dan tentunya kedaulatan.

 

Tetapi kedaulatan Malaysia tidak terhenti di pesisir pantai.

 

Malaysia berhadapan dengan dua kawasan maritim paling strategik di dunia — Selat Melaka dan Laut China Selatan. Untuk menjaga kepentingan negara di kedua-duanya, kita memerlukan lebih daripada peta, kenyataan diplomatik dan pengisytiharan bahawa sesuatu kawasan itu milik atau berada di bawah hak berdaulat Malaysia.

 

Kapal Malaysia perlu berada di sana.

 

Sebab itu saya tertarik apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Malaysia sedang mempertimbangkan tawaran sebuah lagi kapal yang sudah ditamatkan perkhidmatannya oleh US Coast Guard untuk digunakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

 

Kita sudah menerima sebuah sebelum ini — bekas USCGC Steadfast yang kini dinamakan KM Bendahara.

 

Kapal itu dibina pada 1967.

 

Ya, 1967.

 

Maknanya kapal itu hanya empat tahun lebih muda daripada Malaysia.

 

US Coast Guard menamatkan perkhidmatannya pada 2024 selepas lebih lima dekad berada di laut. Kapal itu kemudiannya diperoleh Kerajaan Malaysia menerusi Program Jualan Ketenteraan Asing atau Foreign Military Sales (FMS) Amerika Syarikat sebelum diserahkan secara rasmi kepada APMM pada 5 Sept 2025.

 

Malaysia memperuntukkan lebih RM30 juta bagi kerja penyelenggaraan dan baik pulih, latihan kru serta pelayaran pulang kapal itu sebelum mengerahkannya bagi memperkukuh operasi APMM, khususnya di perairan Sabah dan Laut China Selatan.

 

Sekarang sebuah lagi ditawarkan.

 

Saifuddin berkata Malaysia tidak akan menerimanya begitu sahaja. Pasukan teknikal termasuk jurutera dan pegawai APMM akan memeriksa kapal itu terlebih dahulu bagi memastikan ia sesuai digunakan dan kos penyelenggaraannya masih munasabah.

 

Memang begitulah sepatutnya.

 

Tetapi bagi saya, persoalan yang lebih menarik bukanlah mengapa Amerika mahu menawarkan sebuah lagi kapal lamanya kepada Malaysia.

 

Persoalannya ialah: bagaimana sebuah negara yang menjaga antara kawasan maritim paling strategik di dunia masih berada dalam keadaan sehingga kapal yang sudah dipencenkan oleh negara lain pun mempunyai nilai kepada kita?

 

Kapal tua tidak semestinya tidak berguna

Jangan pula salah faham. Kapal tua tidak semestinya kapal tidak berguna.

 

APMM juga bukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Tugasnya berbeza. Untuk membanteras penangkapan ikan secara haram, penyeludupan, menjalankan pengawasan, menguatkuasakan undang-undang dan memantau kapal asing, APMM tidak memerlukan setiap kapalnya mempunyai keupayaan tempur seperti sebuah frigat moden.

 

Yang penting kapal itu selamat, boleh belayar jauh, mempunyai ketahanan untuk berada lama di laut dan mampu memastikan kehadiran Malaysia.

 

Di Laut China Selatan, perkara itu penting. Menghantar kapal penguatkuasaan untuk memantau kapal pengawal pantai negara lain juga mempunyai implikasi berbeza daripada mengerahkan kapal perang.

 

Tetapi kita tidak boleh melihat KM Bendahara secara terasing daripada keadaan keseluruhan aset maritim negara.

 

Panglima TLDM, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain berkata pada Julai lalu bahawa lebih 60% aset TLDM sudah berusia lebih 40 tahun, sedangkan enam operasi memerlukan kapal dikerahkan secara berterusan sepanjang tahun.

 

Semakin tua kapal, semakin mencabar penyelenggaraannya. Alat ganti boleh menjadi semakin sukar diperoleh, kos meningkat dan lebih banyak masa mungkin diperlukan untuk memastikan aset kekal tersedia bagi operasi.

 

Jadi apabila sebuah kapal US Coast Guard berusia hampir 60 tahun masih mempunyai nilai kepada Malaysia, jangan terlalu cepat mentertawakan usia kapal Amerika itu.

 

Mungkin kita patut melihat dahulu usia kapal-kapal kita sendiri.

 

LCS yang ditunggu bertahun-tahun

Di sinilah randau MERREPAK kita sampai kepada Kapal Tempur Pesisir (LCS).

 

Program yang pada asalnya melibatkan enam kapal itu akhirnya distruktur semula kepada lima selepas bertahun-tahun berdepan kelewatan, peningkatan kos dan kontroversi.

 

Kapal pertama kelas Maharaja Lela yang sepatutnya sudah lama berada di laut kini dijangka diserahkan pada Disember 2026, manakala kapal-kapal berikutnya dijadual diterima secara berperingkat sehingga 2029.

 

Malaysia bukannya tidak mempunyai kapal perang. TLDM terus menjalankan tugas dan operasi menggunakan aset yang ada.

 

Tetapi setiap tahun kapal baharu lewat tiba ialah setahun lagi kapal lama perlu terus bekerja.

 

Itulah jurang yang kita sedang hadapi.

 

KM Bendahara tentunya tidak boleh menggantikan LCS. Sebuah kapal APMM bukan pengganti kapal tempur TLDM.

 

Malah pemerolehan KM Bendahara dan kelewatan LCS adalah dua perkara berbeza yang melibatkan agensi serta keperluan operasi yang berbeza.

 

Tetapi kedua-duanya memperlihatkan cabaran lebih luas yang sama: Malaysia memerlukan aset yang mencukupi untuk mengekalkan kehadiran maritim ketika sebahagian armada semakin berusia dan kapal pengganti mengambil masa untuk tiba.

 

Apabila laut tidak pernah berhenti memerlukan rondaan, kapal yang masih selamat dan berupaya melaksanakan tugas tetap mempunyai nilai.

 

Jangan salahkan USA pula

Ada satu perkara yang perlu diperjelaskan supaya kita tidak tersalah menuding jari kepada Washington.

 

USA bukan memaksa Malaysia menerima KM Bendahara.

 

Rekod rasmi APMM menyatakan bekas USCGC Steadfast itu diperoleh Kerajaan Malaysia menerusi FMS Amerika Syarikat sebelum diserahkan secara rasmi kepada APMM pada 5 Sept 2025.

 

Mengenai kapal kedua pula, Saifuddin berkata selepas Malaysia menerima kapal pertama, pihak Amerika menulis sekali lagi menawarkan sebuah lagi kapal.

 

Malaysia belum menerimanya walaupun saya secara peribadi percaya kita akan tetap ambil juga akhirnya.

 

Kerajaan mahu pasukan teknikal, jurutera dan APMM memeriksa kapal itu terlebih dahulu bagi menentukan sama ada ia sesuai digunakan dan kos penyelenggaraannya masih munasabah.

 

Jadi jangan pula selepas membaca Merrepak ini ada yang berkata USA sedang memaksa Malaysia mengambil kapal-kapal pencennya. Bukan ini isunya.

 

Yang menarik ialah Malaysia melihat kapal pertama yang sudah ditamatkan perkhidmatannya oleh US Coast Guard sebagai aset yang masih mempunyai nilai untuk APMM, manakala tawaran kapal kedua pula cukup relevan sehingga kerajaan mahu menghantar pasukan untuk memeriksanya.

 

Itulah persoalan yang patut kita fikirkan: bagaimana sebuah negara yang menjaga Selat Melaka dan mempunyai kepentingan begitu besar di Laut China Selatan berada dalam keadaan sehingga kapal yang sudah ditamatkan perkhidmatannya oleh negara lain masih mempunyai nilai strategik kepada kita?

 

Amerika pula tentunya mempunyai kepentingannya sendiri.

 

US Coast Guard secara terbuka menyatakan program pemindahan aset antarabangsanya membantu membina keupayaan dan hubungan dengan negara rakan, selain mengurangkan kos pelupusan aset yang sudah tidak diperlukan.

 

Tidak ada yang pelik mengenainya. Begitulah hubungan antarabangsa. Negara bertindak mengikut kepentingan masing-masing.

 

Kalau sebuah kapal lama Amerika masih ekonomik untuk dibaik pulih dan mampu memberikan beberapa tahun lagi perkhidmatan berguna kepada APMM, Malaysia juga mendapat manfaat.

 

Persoalan Merrepak bukan mengapa Amerika mahu menawarkan kapal lamanya. Persoalannya ialah mengapa kapal lama itu masih begitu berguna kepada kita.

 

Kapal boleh dapat, peluru berpandu pula bermasalah

Di sinilah hubungan pertahanan dengan Barat menjadi lebih menarik.

 

Ketika Malaysia boleh memperoleh bekas kapal US Coast Guard, kita berhadapan masalah mendapatkan Naval Strike Missile (NSM) yang sepatutnya dipasang pada LCS.

 

Norway membatalkan kelulusan eksport sistem itu susulan perubahan terhadap kawalan eksport pertahanan negara berkenaan. Malaysia membantah keputusan tersebut selepas sebahagian besar nilai kontrak sudah dibayar dan menuntut penyelesaian termasuk pampasan.

 

Terdapat laporan mengenai kemungkinan kaitan komponen teknologi Amerika dalam isu itu. USNI News melaporkan kawalan terhadap giroskop buatan Amerika mungkin menjadi antara faktor yang terlibat.

 

Tetapi setakat bukti yang tersedia kepada umum, tidak ada asas untuk mengatakan Washington mengarahkan Norway membatalkan penjualan NSM kepada Malaysia.

 

Jadi jangan kita mendahului fakta.

 

Namun ironinya tetap sukar dilepaskan.

 

Kapal yang US Coast Guard sudah pencen boleh kita peroleh. Teknologi persenjataan Barat yang jauh lebih maju, canggih, terbaharu pula belum tentu kita boleh miliki.

 

Kalau begitu, mengapa Amerika tidak beri kapal baharu?

Soalan ini tentunya akan timbul.

 

Kalau Malaysia begitu penting kepada keselamatan Selat Melaka dan Laut China Selatan, mengapa Amerika tidak sahaja menawarkan kapal moden?

 

Sebab kapal pencen dan kapal perang moden adalah dua dunia berbeza.

 

Pemindahan kapal yang sudah ditamatkan perkhidmatan boleh dilakukan melalui mekanisme kerjasama pertahanan yang tersedia. Kapal tempur moden pula membawa bersama kos pemerolehan dan operasi yang jauh lebih besar, sistem persenjataan sensitif, latihan, alat ganti, kelulusan eksport serta kebergantungan logistik untuk tempoh panjang.

 

Dan kita jangan lupa Malaysia sedang mendapatkan aset baharu dari negara lain. APMM menempah Kapal Misi Pelbagai Guna dari Türkiye sementara TLDM menunggu LCS.

 

Maka kapal pencen US Coast Guard boleh diterima sebagai jambatan sementara jika keadaan teknikal dan kosnya masih munasabah.

 

Kata kunci: "Jambatan Sementara". Inilah perkataan penting.

 

Kerana kapal yang pencen tidak semestinya murah untuk terus dipelihara. Hakisan, enjin dan jentera lama, penggunaan bahan api, peralatan usang serta kesukaran mendapatkan alat ganti boleh menyebabkan kos penyelenggaraan akhirnya menjadi tidak munasabah.

 

Sebab itu pemeriksaan terhadap kapal kedua yang ditawarkan USA mesti benar-benar teliti.

 

Kedaulatan mesti terlihat di laut

Hari Malaysia memperingati sebuah Persekutuan yang menyatukan Malaya, Sabah dan Sarawak.

 

Lihatlah peta Malaysia.

 

Laut China Selatan berada antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, tetapi laut itu tidak pernah memisahkan kita sebagai sebuah negara.

 

Di sebelah barat pula terdapat Selat Melaka, antara laluan perkapalan terpenting dunia.

 

Geografi ini bukan sahaja memberikan Malaysia kedudukan strategik. Ia memberikan kita tanggungjawab.

 

Kapal pengawal pantai, tentera laut dan nelayan asing tidak akan berhenti beroperasi di kawasan Malaysia mempunyai kedaulatan, hak berdaulat atau tanggungjawab penguatkuasaan hanya kerana kapal kita sedang disenggara atau kapal gantinya belum siap.

 

KM Bendahara mungkin dibina pada 1967, tetapi kalau kapal itu masih boleh berada di laut, menjalankan pengawasan dan memastikan Jalur Gemilang terus kelihatan di perairan strategik, gunakanlah.

 

Tetapi jangan sampai kita menganggap keadaan itu normal.

 

Kapal perang Malaysia mesti jaga perairan negara

APMM boleh menguatkuasakan undang-undang, melakukan pengawasan dan menjaga keselamatan maritim.

 

Tetapi APMM tidak boleh selama-lamanya menjadi jawapan apabila Malaysia memerlukan kekuatan tentera laut yang benar-benar mampu mempertahankan kepentingan negara dalam menghadapi ancaman ketenteraan.

 

Selat Melaka dan Laut China Selatan terlalu penting untuk kita bergantung kepada kapal lama sebagai sesuatu yang lebih daripada penyelesaian sementara.

 

Malaysia memerlukan kapal perang moden yang mencukupi, dipersenjatai sewajarnya dan — paling penting — benar-benar tersedia untuk belayar apabila diperlukan.

 

Sebab itu kelewatan LCS tidak boleh lagi dilihat sebagai satu lagi kisah projek kerajaan yang lambat siap.

 

Ini mengenai kedaulatan.

 

Ini mengenai perdagangan maritim kita, kepentingan ekonomi luar pesisir dan kebebasan Malaysia menentukan sendiri bagaimana perairannya dipertahankan.

 

Bagi sebuah negara yang berada di antara kawasan maritim terpenting di Asia, masalah sebenar bukanlah USA menawarkan kapal lama kepada Malaysia.

 

Masalah sebenarnya ialah pembaharuan armada TLDM yang terlalu perlahan dan kelewatan perolehan selama bertahun-tahun telah mewujudkan keadaan sehingga kapal yang sudah dipencenkan negara lain pun masih mempunyai nilai operasi kepada kita.

 

Pada Hari Malaysia ini, mungkin kita perlu bertanya apakah makna sebenar kedaulatan.

 

Bukan sekadar garisan di atas peta. Bukan sekadar kenyataan bahawa ini wilayah kita, ini perairan kita dan ini hak kita.

 

Kalau benar perairan itu milik dan hak Malaysia, kita mesti mempunyai kemampuan untuk berada di sana, mengawasinya, merondanya dan mempertahankannya apabila diperlukan.

 

Jalur Gemilang di Laut China Selatan dan Selat Melaka akhirnya mesti disokong oleh kapal Malaysia sendiri — moden, berkeupayaan dan sentiasa bersedia berada di sana apabila kedaulatan negara menuntutnya. - DagangNews.com


 

Johardy Ibrahim merupakan Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror sepanjang lebih 34 tahun kerjayanya sebagai wartawan. `Merrepak' ialah kolum pojok beliau yang diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009, menyentuh apa sahaja isu yang mencuit jiwa dan minda sepanjang minggu, atau yang membuatkannya mendengar lagu Phil Collins - In The Air Tonight berulang-ulang kali.

Merrepak Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved