Le Tour de Langkawi 2026: Unibet pertaruh empat pendaki

13 Sep 2026 • 6:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Le Tour de Langkawi 2026: Unibet pertaruh empat pendaki
Kyffin mengungguli Peringkat 7 edisi tahun lalu.

TIGA pendakian menuju puncak pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 menjadi cabaran utama pasukan ProTeam Perancis, Unibet Rose Rockets yang mempertaruhkan empat pendaki bagi mencipta impak lebih besar pada edisi ke-30 perlumbaan itu.

Selepas meraih satu kemenangan peringkat menerusi Zeb Kyffin pada Peringkat 7 tahun lalu, Unibet kali ini hadir dengan barisan enam pelumba yang dilihat lebih sesuai mengharungi laluan Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.

Cabaran pasukan itu diketuai pelumba Norway, Cedrik Bakke Christophersen yang menduduki tempat kelima keseluruhan LTdL25, selain Owen Geleijn, Peter Jannis dan Eivend Broholt Fougner yang menjadi taruhan di laluan mendaki.

Christophersen, 24, turut berada pada prestasi meyakinkan selepas memenangi satu peringkat Arctic Race of Norway bulan lalu dan menamatkan saingan itu di tempat kelapan keseluruhan.

Fougner pula menduduki tempat ke-14 keseluruhan Tour of Sibiu dan muncul naib juara klasifikasi Raja Bukit Tour de l'Ain pada Julai lalu, manakala Jannis berada di tempat kelapan Tour of Sibiu tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, senarai pelumba Unibet kali ini tampak lebih cenderung untuk menguasai tiga peringkat pendakian ke puncak berkenaan.

“Pasukan ini pasti membuat ‘kerja rumah’ lebih awal sebelum memutuskan siapa pelumba yang mahu dihantar ke LTdL26 ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, laluan kali ini berbeza berbanding edisi lalu yang hanya menampilkan satu pendakian ke Bukit Fraser.

“Kerana ia berbeza dengan hanya satu pendakian agak mudah ke Bukit Fraser pada tahun lalu,” katanya.

Emir berkata, kehadiran Wout Poels dalam senarai pelumba simpanan turut memperlihatkan keseriusan Unibet untuk mencipta impak lebih besar pada LTdL26.

“Nama Wout Poels dalam senarai pelumba simpanan itu mengesahkan mereka serius untuk mencipta impak lebih besar kali ini,” katanya.

Poels, 38, pernah meraih kemenangan peringkat di Tour de France dan Vuelta a Espana pada 2023 serta mengumpul 26 kemenangan dalam kariernya, selain pernah bersama Vacansoleil, Sky, Bahrain Merida dan Astana.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved