Bagai pucuk dicita ulam mendatang, atau mungkin dengan beberapa bulan sahaja tinggal untuk tahun ini dimana kenderaan elektrik dijual dengan harga runcit tanpa cukai import dikenakan, Leapmotor menerusi penawaran Leapmotor C10 kini mengemaskini harga yang turut mendatangkan spesifikasi yang telah dinaiktaraf. Jika pada bulan Oktober lepas ia telah mula dijual pada harga RM 149,000, selang 8 bulan mereka mengumumkan kesediaan model dikemaskini dengan harga RM 125,000.

Leapmotor C10 merupakan kereta elektrik kelas SUV yang mempunyai bateri LFP sebesar 69.9 kWh yang memberikan jarak perjalanan sejauh 424 KM WLTP, dengan motor elektrik yang memberikan kuasa sebanyak 214 hp membolehkan pecutan 0-100 km/j sepantas 7.5 saat dengan kelajuan maksimum 170 km/j. Pengecasan DC pula adalah setinggi 84 kW membolehkan pengecasan pantas 30-80% dalam masa 30 minit
Untuk model tahun ini bermula bulan ini, Leapmotor C10 akan turut membawakan ruang storan hadapan ‘frunk’ sebesar 32 liter, pengecasan AC 11 kW yang menggantikan pengecasan AC 6.6kW pada model sebelum ini, membolehkan pengecasan AC 30-80% selama 4 jam sahaja, berbanding sebelum ini sekitar 6 jam.

Seterusnya ia turut dilengkapi sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), pilihan warna hiasan dalaman berlainan, seperti warna dalaman hitam yang menggantikan warna ‘Midnight Aurora’ atau warna perang ‘Camel Brown’ yang menggantikan warna perant ‘Criollo Brown’. Namun ia masih mengekalkan kemasan tekstil yang sama iaitu OEKO-Text Standard 100.

Pada harga RM 125,000, Leapmotor C10 merupakan SUV kelas D pada harga yang biasa ditawarkan untuk kelas C, dan akan hadir dengan jaminan selama 6 tahun atau 150,000 KM jarak perbatuan dan juga jaminan bateri selama 8 tahun atau 160,000 jarak perbatuan, tertakluk yang mana satu dahulu. Dengan harga baharu dan spesifikasi baharu, kini nampaknya kita akan melihat lebih banyak kereta elektrik sekitar RM 120,000 menjadi pilihan pengguna.



