Lebih 1,000 meriahkan Jelajah Iftar Sinar Mydin 2026 di Pulau Pinang

4 Mar 2026 • 12:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 1,000 pengunjung. Gambar kecil:Siti Norhanim dan Mohd Saad
image is not available
Pelajar Maahad Tahfiz Sirajul Quran turut menerima sumbangan baju raya daripada Boost Bank.
image is not available
Antara pengunjung yang menyertai an program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2026.
image is not available
Mydin menyerahkan sumbangan wang tunai RM1,000 kepada Maahad Tahfiz Sirajul Quran.
image is not available
Izhar (dua dari kiri) dan Amir (tengah) turut bersama-sama berbuka puasa di program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2026 pada Selasa.
image is not available
Naufal turut mengadakan persembahan.

BUKIT MERTAJAM – Lebih 1,000 pengunjung memeriahkan program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah apabila orang ramai mula hadir di Mydin Bukit Mertajam seawal jam 5 petang bagi bersama-sama menjayakan majlis berbuka puasa berkenaan.

Program anjuran Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) dengan kerjasama Sinar Harian itu bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat malah turut memberi kegembiraan kepada pengunjung menerusi pelbagai pengisian dan sumbangan yang disediakan.

Siti Norhanim Nordin, 36 dari Kubang Semang berkata, dia seronok dapat berbuka puasa beramai-ramai dalam suasana yang meriah dan harmoni.

**media[3452370]**

Menurut suri rumah itu, program seumpama ini wajar diteruskan setiap tahun kerana mampu mengukuhkan ukhuwah selain memberi peluang kepada orang ramai berkenalan dengan kenalan baharu.

“Saya harap pihak Mydin dan Sinar Harian dapat anjurkan program seperti ini setiap tahun.

"Banyak manfaat yang kami peroleh termasuk 'goodies' percuma seperti makanan, minuman dan barangan kebersihan diri,” katanya.

Mohd Saad Omar @ Bakar, 48 dari Alor Setar yang juga seorang peniaga turut meluahkan rasa gembira dapat menyertai program tersebut.

**media[3452377]**

Katanya, selain mengeratkan silaturahim, majlis itu memberi pengalaman bermakna apabila dapat berkongsi rezeki dan berbuka puasa bersama masyarakat setempat.

"Saya datang ke sini bersama kawan dari Kedah. Datang semata-mata nak memeriahkan majlis iftar ini.

"Kami seronok dapat berbuka puasa beramai-ramai selain menikmati juadah dan cenderahati yang disediakan pihak penganjur. Program yang baik seperti ini wajar diteruskan," katanya.

**media[3452378]**

Sementara itu, Siti Zaharah Abu Bakar, 47 dari Penanti berkata, dia teruja melihat sambutan luar biasa yang diberikan orang ramai terhadap program berkenaan.

Menurutnya, inisiatif seumpama itu membuktikan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat masih utuh, khususnya sepanjang Ramadan.

Dalam pada itu, sementara menanti waktu berbuka, majlis diserikan dengan persembahan nasyid oleh pelajar Maahad Tahfiz Sirajul Quran yang berjaya menarik perhatian hadirin.

**media[3452379]**

Pada majlis sama, Boost Bank turut menyampaikan sumbangan baju raya kepada pelajar Maahad Tahfiz Sirajul Quran manakala Mydin menyerahkan sumbangan wang tunai RM1,000 di bawah inisiatif Mydin Prihatin sebagai tanda sokongan terhadap institusi pendidikan tersebut.

Program berkenaan dilihat bukan sahaja menyantuni masyarakat malah memperkukuh semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Sementara itu, selebriti, Naufal Isa menyifatkan penganjuran Jelajah Iftar Sinar Mydin sebagai satu inisiatif yang sangat baik dalam menyantuni golongan memerlukan khususnya anak yatim dan mereka yang kurang berkemampuan.

Menurutnya, program berkenaan bukan sekadar majlis berbuka puasa sebaliknya menjadi platform berkongsi rezeki serta meraih ganjaran pahala yang besar di sisi ALLAH SWT.

**media[3452382]**

“Saya rasa Jelajah Iftar daripada Sinar Harian dan Mydin ini sangat-sangat bagus kerana ia antara inisiatif untuk kita berkongsi rezeki dengan anak yatim dan orang-orang yang lebih memerlukan," ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar penganjuran akan datang dapat diperluaskan lagi skopnya sama ada daripada segi jumlah jemputan, pengagihan pek makanan atau lokasi yang lebih pelbagai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah pula berkata, program seumpama itu disifatkan sebagai inisiatif bermakna yang memberi impak besar kepada masyarakat setempat.

“Tahniah kepada pihak Mydin bersama Sinar Harian kerana menganjurkan program Jelajah Iftar ini.

"Saya lihat sasaran lebih 1,000 orang berjaya dicapai, bukan sahaja melalui majlis berbuka puasa tetapi turut diisi dengan elemen kongsi rezeki seperti sumbangan prihatin dan baju raya.

“Program seperti ini seharusnya diteruskan kerana cukup memberi makna kepada penerima yang memerlukan,” katanya.

Beliau yang juga wakil rakyat kawasan itu turut mengalu-alukan kolaborasi antara sektor swasta dan media dalam menjayakan program berimpak tinggi kepada masyarakat.

Tambah beliau, kerjasama strategik seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang demi memastikan lebih ramai golongan memerlukan terus dibantu.

**media[3452381]**

Dalam pada itu, ADUN Permatang Pasir, Amir Hamzah Abdul Hashim berkata, penganjuran program kebajikan dan berbuka puasa yang menghimpunkan masyarakat setempat wajar diteruskan kerana mampu menyemarakkan semangat berkongsi rezeki khususnya dalam bulan Ramadan.

Tambahnya, usaha seperti itu bukan sahaja membantu golongan memerlukan membuat persiapan Aidilfitri malah menyuburkan budaya infak dan sedekah dalam kalangan rakyat.

“Program seperti ini adalah satu perkara yang baik untuk kita gandakan kebaikan terutamanya dalam bulan puasa.

“Golongan yang susah ini memang tertunggu-tunggu apa bahagian atau habuan mereka ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

“Siapa yang berinfak, Tuhan akan tambah lagi rezekinya. Itu harapan kita supaya lebih ramai mempunyai sikap suka menderma dan menyumbang,” ujarnya.

Amir Hamzah berkata, semangat rakyat Malaysia dalam menghulurkan bantuan sememangnya tinggi dan wajar dipuji.

“Orang Malaysia ini memang kuat semangat bersedekah. Bila dibuka ruang untuk membantu, mereka datang berbondong-bondong. Ini contoh terbaik sikap rakyat Malaysia.

“Sikap positif seperti ini perlu terus diberi galakan supaya budaya berkongsi rezeki menjadi amalan berterusan, bukan sahaja pada bulan Ramadan,” katanya.

 

 

View Original Article