Lebih 1,500 peserta sertai Larian Obor Sukma di Klang

24 May 2026 • 3:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lebih 1,500 peserta sertai Larian Obor Sukma di Klang
Mohd Zary (depan, tengah) Larian Obor Sukma XXII dan Para Sukma Selangor 2026 pada Sabtu.
Image from: Lebih 1,500 peserta sertai Larian Obor Sukma di Klang
Larian Obor Sukma XXII dan Para Sukma Selangor 2026 membawa simbolik semangat perpaduan, daya juang dan kebersamaan rakyat dalam menyokong atlet Sukma dan Para Sukma.

KLANG - Larian Obor Sukan Malaysia (Sukma) XXII dan Para Sukma Selangor 2026 bukan sekadar acara simbolik menjelang temasya sukan terbesar negara itu, sebaliknya menjadi lambang perpaduan, daya juang dan kebersamaan rakyat Selangor dalam menyokong atlet negeri dan negara.

Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Mohd Zary Affendi Mohd Arif, berkata program tersebut turut menjadi medium menyemai budaya hidup sihat serta menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam aktiviti sukan dan rekreasi.

Menurut beliau, Klang yang menjadi tuan rumah beberapa acara Sukma berbesar hati menerima kehadiran kontinjen dari seluruh negara, sekali gus memperlihatkan kemampuan Selangor menganjurkan temasya sukan bertaraf nasional.

“Larian obor ini membawa simbolik semangat perpaduan, daya juang dan kebersamaan rakyat dalam menyokong atlet Sukma dan Para Sukma.

“Pada masa sama, ia menjadi medium untuk menyemai minat masyarakat terhadap budaya hidup sihat serta penglibatan aktif dalam aktiviti sukan dan rekreasi,” katanya ketika berucap pada Program Siri Jelajah Larian Obor sempena Sukma XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 Peringkat MBDK serta Hari Klang Tanpa Kenderaan di Padang Laman Seni Safari, Jejak Warisan Klang pada Sabtu.

Program yang berlangsung meriah itu menghimpunkan lebih 1,500 peserta melibatkan warga Klang, wakil agensi kerajaan serta sektor swasta.

**media[3531303]**

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Sukma XXII dan Para Sukma Selangor, Datuk Mohd Yazid Sairi; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Sukma XXII dan Para Sukma Selangor, Mohamad Nizam Marjugi serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Serdang yang juga Ketua Kontinjen Sukma Selangor, Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi.

Mohd Zary berkata, Program Hari Klang Tanpa Kenderaan yang diadakan serentak turut mencerminkan komitmen MBDK dalam mempromosikan gaya hidup rendah karbon, penjagaan alam sekitar serta penggunaan ruang bandar yang lebih lestari dan mesra komuniti.

Katanya, program seperti itu mampu memperkukuh hubungan antara masyarakat dengan pihak berkuasa tempatan, di samping membina semangat kesukanan serta rasa bangga sebagai rakyat Selangor.

Antara aktiviti menarik yang diadakan termasuk sesi ‘Meet and Greet’ bersama atlet dan bekas atlet, Klinik Asas Sukan Short Mat Lawn Bowl, selain Mini Games Soccer Street Kids dan Netball Shoot Out.

Dalam perkembangan sama, gimik penyerahan obor berlangsung penuh simbolik apabila obor diserahkan oleh Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Safriah Md Adzhar, sebagai tanda kesinambungan semangat Sukma ke Bandar Diraja Klang.