Lebih 100 gerai, destinasi mesra Muslim baharu di Genting Highlands tahun depan

26 Nov 2026 • 7:45 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lebih 100 gerai, destinasi mesra Muslim baharu di Genting Highlands tahun depan

KUALA LUMPUR – Genting Highlands bakal mempunyai sebuah destinasi pelancongan mesra Muslim baharu yang menghimpunkan lebih 100 gerai makanan, minuman, produk kebudayaan dan seni kraf menjelang September tahun hadapan.

Pembangunan berkeluasan kira-kira 100,000 kaki persegi itu dianggarkan mampu menarik sehingga lapan juta pengunjung setahun, sekali gus membuka peluang kepada usahawan tempatan untuk menembusi pasaran pelancongan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Silk Road Market, Datin Rita Sosilawati berkata, pembangunan berkonsepkan pasar terbuka itu mengambil inspirasi daripada kepelbagaian makanan, seni kraf dan budaya di sepanjang laluan perdagangan bersejarah Laluan Sutera sejak lebih 2,000 tahun lalu.

Menurutnya, kenangan mengunjungi pasar malam dan bazar Ramadan bersama keluarga selain bercuti di Genting Highlands mencetuskan idea pembangunan destinasi berkenaan.

“Kebanyakan tarikan (di Genting Highlands) berada di dalam bangunan atau memerlukan tiket. Saya nampak ruang untuk sebuah pasar terbuka di mana keluarga boleh bersiar-siar, menjamu selera dan menikmati suasana sekeliling bersama-sama.

“Saya mahu pasar terbuka ini menjadi pentas bagi perniagaan Malaysia, terutamanya yang kecil, untuk dikenali oleh pengunjung dari seluruh dunia,” katanya.

Mengulas mengenai usaha memastikan destinasi pelancongan itu menepati konsep mesra Muslim, Rita berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan Halal Development Corporation (HDC) bagi membantu bakal peniaga yang belum memiliki sijil halal.

Katanya, peluang penyertaan tidak hanya terhad kepada pengusaha yang sudah memiliki pensijilan halal, malah mereka yang belum mendapatkannya turut diberikan bimbingan dalam proses berkenaan.

“Kadangkala ada peniaga yang mahu membuka perniagaan, tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan pensijilan halal. Di sinilah peranan HDC menerusi kerjasama kami.

“Bersama HDC, kami membantu peniaga yang belum mempunyai sijil halal dan proses itu sedang berjalan. Sekiranya mereka mahu menyertai kami, kami akan membantu mereka mendapatkan pensijilan halal menjelang pembukaan nanti,” katanya.

Menurut Rita, penekanan terhadap aspek halal bukan semata-mata berkaitan tuntutan agama, malah merangkumi piawaian kebersihan, kualiti serta sumber bahan yang digunakan sekali gus memberikan keyakinan dan keselesaan kepada pengunjung tanpa mengira latar belakang agama.

Dalam pada itu, Rita berkata, pembangunan tersebut turut memberi tumpuan kepada penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya pengusaha produk makanan dan seni kraf dari Pahang.

Usaha berkenaan mendapat kerjasama Tourism Pahang bagi membawa masuk usahawan tempatan selain mempromosikan Genting Highlands dan Pahang kepada pelancong dalam serta luar negara.

“Ramai peniaga kecil mempunyai produk yang hebat tetapi tidak mampu menyewa kedai di destinasi pelancongan utama.

“Kiosk kami bermula dari 40 kaki persegi, dan peniaga boleh berkongsi kiosk, mengambil ruang rak atau bermula dengan gerai pop-up, supaya mereka boleh bermula dengan saiz yang sesuai,” ujarnya.

Selain Tourism Pahang dan HDC, usaha tersebut turut mendapat sokongan Pusat Pelancongan Islam (ITC) dalam membangunkan destinasi mesra Muslim serta menyediakan ruang kepada perniagaan halal untuk berkembang. – KOSMO! ONLINE

The post Lebih 100 gerai, destinasi mesra Muslim baharu di Genting Highlands tahun depan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved