
Tuaran: Pelancongan nautika berkonsepkan pelayaran di Sabah memiliki potensi untuk membawa pelancong lebih ramai dan tinggal lebih lama di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, Sabah perlu memanfaatkan pelancongan nautika termasuklah aktiviti pelayaran berikutan negeri ini mempunyai banyak lokasi dan laluan menarik di perairan.
Katanya, kehadiran lebih 100 pelayar dan 29 kapal layar dari 16 negara sempena Majlis Dalit Bay Nautica 2025 pada Jumaat adalah bukti Sabah sedang dilihat dan dihargai oleh dunia untuk destinasi pelayaran.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Sabah yang menawarkan pelbagai pengalaman berlayar sebenarnya terdapat potensi untuk menjadi destinasi pelayaran memandangkan kita mempunyai pantai yang menarik dan bersih.
“Saya yakin pelancongan nautika atau aktiviti rekreasi pelayaran juga akan berpotensi membawa pengunjung ke Sabah sekali gus mampu menjana limpahan ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya.
Ucapan Hajiji dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai serta mewakili Ketua Menteri merasmikan majlis di Dalit Bay View, Jambatan Gayang di sini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Dalit, Jasnih Daya.
Hajiji berharap pelancongan nautika seperti ini akan menjadi salah satu daya tarikan atau aktiviti pelancongan utama dalam masa terdekat.
“Justeru, kita perlu memanfaatkan prospek aktiviti pelayaran itu memandangkan lokasi negeri ini yang mempunyai kelebihan dan banyak laluan air.”
Beliau mengambil contoh seperti Pantai Dalit yang memiliki pantai memukau dengan kepelbagaian budaya serta lokasi strategik berhadapan Laut China Selatan.
“Malahan, kawasan ini memiliki potensi besar sebagai destinasi pelancongan kelas dunia yang sudah pasti akan membantu meningkatkan pelancongan, mempromosikan warisan budaya, dan merangsang aktiviti ekonomi di negeri ini.
“Hal ini juga sudah pasti akan meletakkan negeri Sabah pada peta pantai global dan menjadi satu petanda yang baik dalam meningkatkan sektor pelancongan di negeri ini.
Selain itu, sektor pelancongan akan membantu mempelbagaikan lagi tarikan pelancongan sekali gus dapat membantu mencapai sasaran 3.5 juta pelancong ke Sabah pada tahun ini.
Menurut beliau, sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, Sabah mempunyai segala-galanya untuk ditawarkan dari lautan yang dalam hingga ke gunung yang tinggi.
“Ini menjadikan Sabah antara destinasi pelancongan bertaraf dunia. Keindahan dan kekayaan flora serta fauna dan keajaiban alam semula jadi seperti lautan, pulau, gunung-ganang serta hutan simpan adalah khazanah alam yang dinikmati dan dikagumi ramai,” ujarnya.
Sementara itu, pelayar dari England, Mark Wolf Harling, 45, berkata, dia serta krunya yang menaiki bot dinamakan ‘Coomera’ sudah berlayar selama empat tahun setengah dengan melalui laluan pelbagai negara.
Dia menggunakan bot berkenaan yang digunakan selama lebih sepuluh tahun selepas menggantikan bot lama yang mengalami kerosakan akibat cuaca buruk.
“Berdepan cuaca buruk seperti guruh atau angin kencang adalah perkara biasa bagi kami namun ada kalanya sangat mencabar apabila menghadapi kerosakkan struktur kapal dan membaikinya ketika cuaca buruk itu.
“Kami menghabiskan masa berlayar untuk melihat pemandangan dan budaya yang berbeza berbanding di tempat kelahiran saya, London, EngLand tetapi di Asia khususnya Sabah, Malaysia membuatkan saya tertarik apabila melihat budaya unik dan alam semula jadi yang menarik,” katanya.
Seorang lagi pelayar, Trish Hawkins, 64, dan suaminya Timothy Hawkins, 67, dari Perth, Australia menaiki bot dinamakan ‘Quoll’ dengan mengambil masa setahun setengah untuk ke Sabah dari negeri kelahiran merrka.
“Saat ini, saya dan suami sudah berlayar selama 35 tahun menggunakan bot terpakai yang berusia 25 tahun.
“Bot ini, kami memakainya selama 10 tahun sejak ia dibeli dan sudah banyak kenangan kami lalui bersama. Saya dan suami mahu menghabiskan masa dengan melihat perbezaan budaya di negara lain,” katanya.
Dia mengakui sudah berkunjung ke Sabah dua kali, memuji keindahan Sabah dan akan menjadikan negeri ini sebagai destinasi persinggahan setiap kali belayar.



