
LABUAN: Program Rakan Litar – Perlumbaan Push Bike sempena Hari Belia Negara Labuan 2026 telah berlangsung dengan jayanya selama dua hari bermula 13 hingga 14 Jun 2026, menghimpunkan lebih 100 peserta kanak-kanak berusia antara 3 hingga 8 tahun.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah program yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Persatuan Sukan Ekstrem Labuan itu telah disempurnakan oleh Presiden Majlis Belia Labuan Nazera Roslan.
Nazera berkata ia bertujuan menggalakkan penglibatan kanak-kanak dalam aktiviti sukan sejak usia muda di samping memupuk gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan masyarakat.
“Perlumbaan dipertandingkan dalam tiga kategori umur iaitu kategori 3 hingga 4 tahun, 5 hingga 6 tahun dan 7 hingga 8 tahun,” katanya.
Sepanjang program berlangsung, para peserta menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi serta mendapat sokongan padu daripada ibu bapa dan penjaga yang hadir memeriahkan acara.
Nazera berkata penganjuran program ini diharapkan dapat menjadi platform berterusan dalam mencungkil bakat baharu sukan berbasikal di peringkat akar umbi serta mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan, persatuan sukan dan komuniti setempat dalam usaha memperkasakan pembangunan sukan dan belia di Wilayah Persekutuan Labuan.
Turut hadir Penolong Pengarah (Sukan), Felix Den Anthony Paru, Penolong Pengarah (Belia) Tracy Tumay Rigar dan Presiden Persatuan Sukan Ekstrem Labuan Amar Syahriz Muhaiyar.




