Lebih 15,000 pelari sertai cabaran dua lebuh raya

2 Aug 2026 • 12:19 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lebih 15,000 pelari sertai cabaran dua lebuh raya

SUBANG JAYA: Lebih 15,000 pelari tempatan dan antarabangsa dari 22 negara menyertai edisi kelapan IJM Allianz Duo Highway Challenge 2026 yang berlangsung di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), hari ini.

Acara larian lebuh raya berkenaan memberi pengalaman berbeza apabila peserta berpeluang berlari di atas dua lebuh raya utama Lembah Klang yang ditutup sepenuhnya bagi menjamin keselamatan serta keselesaan sepanjang program berlangsung.

Penganjuran bersama oleh IJM Corporation Berhad dan Allianz Malaysia Berhad itu turut mendapat sokongan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan yang menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai langkah kreatif memanfaatkan kemudahan infrastruktur untuk aktiviti riadah dan sukan.

Beliau berkata, usaha mengaktifkan penggunaan lebuh raya yang ditutup sementara untuk orang ramai menerusi aktiviti sukan wajar dicontohi kerana mampu menggalakkan penyertaan masyarakat dalam gaya hidup sihat.

“Inisiatif yang diambil oleh IJM dan Allianz Malaysia ini wajar dicontohi kerana mengaktifkan penggunaan dua buah lebuh raya utama di Lembah Klang yang ditutup sementara untuk orang ramai,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Lee Chun Fai serta Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang.

Sementara itu, Lee berkata, sepanjang lapan edisi penganjuran, IJM Allianz Duo Highway Challenge berkembang menjadi platform yang menyatukan komuniti menerusi minat terhadap sukan larian.

Katanya, acara tersebut membuktikan lebuh raya bukan sahaja berfungsi sebagai laluan pengangkutan, malah boleh dimanfaatkan sebagai ruang yang menggalakkan gaya hidup aktif serta mengeratkan hubungan masyarakat.

“Menjelang edisi ke-10 kelak, kami kekal komited meningkatkan piawaian penganjuran menerusi inovasi, kelestarian dan kecemerlangan operasi bagi memastikan pengalaman terbaik buat semua pihak,” katanya.

Sean Wang berkata, kerjasama berterusan itu mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam menggalakkan gaya hidup sihat, memperkukuh komuniti serta memastikan pengurusan acara yang bertanggungjawab.

Beliau berharap acara berkenaan terus berkembang dan menjadi platform sukan komuniti yang lebih menarik apabila menghampiri edisi ke-10 kelak. – UTUSAN

The post Lebih 15,000 pelari sertai cabaran dua lebuh raya appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved