
TAWAU: Lebih 150 orang kanak-kanak yang bakal memulakan sesi persekolahan hari ini (Isnin) menerima manfaat daripada Program Gunting Rambut Percuma di Masjid Nurul Huda Kampung Airport Lama, pada Ahad.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Rina Jainal berkata kampung itu adalah lokasi ke-11 penganjuran program berkenaan yang mensasarkan 200 kanak-kanak.
Menurutnya, program tahunan itu antara lain bertujuan membantu ibu bapa membuat persiapan untuk anak-anak mereka sebelum sesi persekolahan sekali gus meringankan beban kewangan keluarga, khususnya yang memiliki ramai anak.
“Kos gunting rambut yang boleh mencecah lebih RM20 seorang boleh menjadi beban kepada sesetengah keluarga apatah lagi yang mempunyai ramai anak, terutamanya menjelang pembukaan sekolah,” katanya merasmikan program itu, di sini.
Rina, yang juga Adun 70 Kukusan berkata, sambutan terhadap program itu amat menggalakkan dengan ibu bapa sentiasa menantikan penganjurannya.
Tambahnya, malah terdapat juga kanak-kanak dari luar kampung turut hadir untuk mendapatkan perkhidmatan percuma itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, program yang dilaksanakan di beberapa lokasi itu bukan sahaja memberi manfaat kepada kanak-kanak dan ibu bapa, malah turut membuka peluang pendapatan kepada golongan belia tempatan.
Menurutnya, penglibatan belia yang mempunyai kemahiran menggunting rambut dalam program itu memberi peluang pekerjaan sambilan yang mampu menambah pendapatan mereka.
“Inisiatif ini juga menjadi platform kepada belia yang sudah lama berkecimpung dalam bidang gunting rambut untuk memperluaskan jaringan dan peluang perniagaan mereka di peringkat komuniti,” katanya.
Rina menambah pendekatan itu selari dengan usaha kerajaan untuk memperkasa belia melalui program berasaskan kemahiran dan keusahawanan di peringkat akar umbi.



