Lebih 2,000 kes, kerugian cecah RM213 juta: Penipuan dalam talian setakat Ogos

LocalPolitics
25 Sep 2025 • 3:53 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) akan terus berfungsi sebagai mekanisme utama dalam memerangi penipuan dalam talian yang kini menjadi antara jenayah paling membimbangkan di negara ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata NSRC, yang kini dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), berperanan sebagai pusat respons khusus untuk memberi bantuan segera kepada mangsa dalam tempoh 24 jam pertama selepas kejadian.

Katanya, pusat itu bukan sahaja menerima laporan mangsa, tetapi juga menyalurkan maklumat kepada pihak bank dan agensi penguatkuasaan untuk tindakan pantas.

“NSRC boleh bertindak segera membekukan akaun suspek dalam tempoh ‘golden hour’.

“Bagaimanapun, pemulangan semula wang tertakluk kepada hasil siasatan dan proses undang-undang,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sabah bagi September di sini, Rabu.

Beliau berkata penipuan yang boleh dilaporkan ke pusat berkenaan, termasuk penipuan telefon melibatkan penyamaran sebagai pihak berkuasa seperti polis, mahkamah dan jabatan cukai, selain penipuan cinta melalui media sosial serta aplikasi janji temu.

Kes lain yang sering dilaporkan ialah penipuan e-dagang apabila barangan tidak dihantar selepas pembayaran dibuat, penipuan kewangan melibatkan kecurian maklumat perbankan serta penyalahgunaan TAC, pinjaman tidak wujud dan skim pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan luar biasa.

“Mangsa boleh terus menghubungi talian hotline 997 yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, untuk membuat laporan,” katanya.

Abdul Rani berkata antara Januari hingga Ogos tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sabah menerima 2,057 kes penipuan dalam talian dengan jumlah kerugian mencecah RM213 juta.

“Angka ini seharusnya menjadi peringatan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tidak mendedahkan maklumat perbankan peribadi atau kod TAC, serta mengelak daripada menekan pautan mencurigakan,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa membuat pengesahan sebelum melakukan transaksi dan berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan atau tidak munasabah.

“Cara paling berkesan untuk mengelak menjadi mangsa ialah sentiasa berwaspada dan bersikap skeptikal terhadap tawaran yang kedengaran terlalu indah untuk dipercayai,” katanya.