
KUALA LUMPUR - Polis Kelantan berjaya menumpaskan dua operasi pengedaran dadah yang menggunakan perkhidmatan kurier serta perniagaan sebagai ‘topeng’, melibatkan rampasan lebih 250 kilogram (kg) ganja dalam serbuan berasingan di Rantau Panjang dan Pasir Mas.
Dalam operasi pertama, pihak berkuasa membongkar sindiket kekeluargaan yang beroperasi di sebuah premis di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang, yang turut dijadikan pusat perkhidmatan kurier, kedai buah-buahan dan kaunter insurans kenderaan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, seorang lelaki berusia 40 tahun bersama anak lelakinya berumur 25 tahun ditahan dalam serbuan kira-kira jam 1 tengah hari, Sabtu lalu.
“Hasil pemeriksaan di premis berkenaan menemui satu bungkusan di bahagian belakang bangunan mengandungi 40kg bahan tumbuhan kering disyaki ganja bernilai RM120,000.
“Siasatan awal mendapati suspek berusia 40 tahun bertindak sebagai penyelaras, manakala anaknya berperanan sebagai penghantar.
“Mereka dipercayai mengedarkan bekalan dadah menggunakan perkhidmatan kurier dan premis itu adalah milik mereka sendiri,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.
Menurut beliau, dadah berkenaan dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Polis turut menyita premis, sebuah kenderaan, motosikal, wang tunai berjumlah RM184,800 serta barang kemas, menjadikan keseluruhan nilai rampasan hampir RM1 juta.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jumlah rampasan dadah ini boleh digunakan lebih 80,000 penagih,” katanya.
Sementara itu, dalam kes berasingan di Pasir Mas, Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah selepas mengejar kenderaan sejauh hampir 10 kilometer di Kampung Kubang Puyu Meranti, Isnin malam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 8.30 malam menerusi Op Taring Wawasan.
“Kita cuba menahan kenderaan tersebut, namun suspek memecut laju sehingga mencetuskan aksi kejar-mengejar sejauh hampir 10 kilometer sebelum berjaya ditahan.
“Hasil pemeriksaan menemui beberapa kotak berwarna coklat mengandungi 210kg bahan tumbuhan kering disyaki ganja,” katanya.
Suspek lelaki berusia 35 tahun itu kini ditahan, manakala semua barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Getaran, 14 April 2026





